Lim Guan Eng
Menteri Kewangan, Lim Guan Eng. foto SYAFIQ AMBAK, 04 NOVEMBER 2018

KUALA LUMPUR – Jumlah hutang isi rumah sebagai nisbah kepada Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) telah mencatat 83.2 peratus pada akhir September 2018 berbanding 83.8 peratus pada akhir 2017.

Sejumlah besar daripada hutang isi rumah adalah untuk pengumpulan harta kekayaan seperti membeli harta kediaman (52.8%) dan bukan kediaman (6.8%), serta pelaburan dalam dana simpanan (5.7%).

Menteri Kewangan berkata, kebanyakan peminjam individu mempunyai tahap hutang yang berhemat. Median
nisbah khidmat hutang keseluruhan (DSR) bagi pembiayaan terkumpul ialah 32 peratus.

Namun demikian, kata Lim Guan Eng, masih terdapat segmen peminjam yang mempunyai kedudukan kewangan yang lemah.

Menurutnya, sebanyak 6.5 peratus daripada keseluruhan peminjam mempunyai margin kewangan2 negatif.

“Kebanyakan daripada peminjam ini berpendapatan kurang daripada RM5,000 sebulan dan mempunyai tahap DSR melebihi 60 peratus,” katanya yang menjawab soalan Datuk Hasan Arifin (BN-Rompin) yang bertanya tentang kedudukan hutang isi rumah dan langkah-langkah mengurangkannya.

Berdasarkan Laporan Penyiasatan Pendapatan Isi Rumah dan Kemudahan Asas 2016, terdapat sebanyak 2.78 juta isi rumah yang tergolong dalam kumpulan B40.

Manakala pendapatan penengah bagi kumpulan ini pada tahun yang sama adalah RM3,000 sebulan.

Sebagai bandingan, pendapatan penengah isi rumah rakyat Malaysia bagi tahun yang sama adalah RM5,228 sebulan.

Menjawab mengenai langkah-langkah pula, Guan Eng berkata, sejak tahun 2010 kerajaan melaksanakan dua prinsip untuk mengurangkan beban yang ditanggung oleh isi rumah dengan memupuk amalan kredit yang bertanggungjawab dalam kalangan individu dan institusi kewangan serta mengelak isi rumah daripada berhutang secara berlebihan.

Bagi mempertingkatkan kesedaran dan kemahiran pengurusan kewangan dan penyusunan semula hutang dalam kalangan masyarakat, kerajaan melalui Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK) telah melaksanakan program-program
yang meliputi pelbagai lapisan umur.

Sejak pelancarannya pada 2011 sehingga September 2018, lebih daripada 204,000 pengguna telah menyertai program
Program Pengurusan Wang Ringgit Anda (POWER!) dan lebih daripada 243,000 peminjam telah menyertai Program Pengurusan Hutang yang dikendalikan oleh program tersebut.

Tambahnya, kerajaan akan terus memantau tahap hutang isi rumah dan meneruskan langkah-langkah sedia ada bagi memastikan sektor isi rumah kekal mampan dan berdaya tahan. – MalaysiaGazette