Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP). foto HAZROL ZAINAL, 02 NOVEMBER 2018.

SUBANG JAYA – Sebuah kilang yang menghasilkan barangan LV secara ciplak telah diserbu penguat kuasa daripada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan.

Hasil serbuan itu, lebih 2,000 beg tangan yang meniru jenama terkemuka antarabangsa telah dirampas.

Daripadanya, 925 beg ditampal dengan jenama LV, manakala beg tiruan lain termasuk yang membawa jenama Gucci, Adidas, Nike dan Fila.

Pengarah bahagian penguatkuasaan kementerian itu, Datuk Mohd. Roslan Mahayuddin berkata, barangan rampasan termasuk beg tangan, bagasi dan beg sandang.

Beliau berkata, penguat kuasa juga merampas tampalan jenama, kain, butang, zip dan banyak barang lain yang digunakan untuk menghasilkan beg jenama tiruan.

“Jika produk yang meniru jenama terkenal ini dijual di pasaran, maka mereka boleh menikmati untung melebihi RM60,000,” katanya kepada China Press.

Pihak berkuasa telah menahan tiga pekerja warganegara Bangladesh untuk membantu siasatan.

Pesalah boleh didenda RM10,000 untuk setiap barang yang diciplak atau dipenjara tidak melebihi tiga tahun, atau kedua-duanya sekali.

Dalam perkembangan berlainan, Bukit Aman telah menahan tiga anggota polis yang disyaki bersubahat dengan sindiket makmal dadah, malahan terlibat dalam penghasilan dadah.

Tiga anggota itu bertugas antara lima hingga 14 tahun dalam pasukan polis dan sedang berkhidmat di bawah Ibu Pejabat Polis Daerah Kajang di Selangor semasa ditahan.

China Press sebelum ini melaporkan, polis telah menumpaskan makmal dadah terbesar di Malaysia dengan dadah jenis syabu bernilai RM20 juta ditemui dalam serbuan yang dilakukan di sebuah kilang di Semenyih, Selangor. – MalaysiaGazette