KUALA LUMPUR – Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) dijangka berkembang antara 4.7 peratus dan 4.8 peratus pada suku keempat tahun ini, dengan pertumbuhan terus didorong oleh penggunaan swasta domestik, kata Institut Kajian Ekonomi Malaysia (MIER).

Pengarah Eksekutif Profesor Emeritus Dr Zakariah Abdul Rashid berkata, jualan runcit dan aktiviti-aktiviti promosi, yang biasanya diadakan pada bulan terakhir setiap tahun, akan meningkatkan penggunaan swasta.

“Dalam tempoh sembilan bulan pertama tahun ini, pertumbuhan purata KDNK sudah mencecah 4.76 peratus dan jika prestasi suku keempat semakin baik, kami amat yakin pertumbuhan keseluruhan tahun ini boleh mencapai sehingga 4.9 peratus.

“Asas-asas kami, (termasuk) penggunaan, pelaburan dan eksport masih kukuh, jadi bukanlah satu masalah (bagi kami) untuk mencapai tahap itu (4.9 peratus),” katanya kepada pemberita semasa Persidangan Unjuran Ekonomi Nasional 2019-2020 di sini hari ini.

Zakariah ketika mengulas mengenai risiko kelembapan, berkata prestasi pelaburan swasta, yang lemah pada suku ketiga berikutan faktor luaran yang tidak menentu, tidak boleh dijadikan pergantungan kerana momentum lemah ini dijangka berterusan.

Katanya, bagi sektor luaran, permintaan yang lemah untuk pembuatan, elektrik dan elektronik, serta, harga rendah dan permintaan untuk minyak & gas boleh mempengaruhi pertumbuhan pada suku keempat.

Penurunan harga minyak, yang sekarang ini berlegar sekitar US$65 setong, tidak akan menjadi faktor yang akan menyokong pertumbuhan.

Momentum menurun mungkin akan berterusan sehingga 2019 dan ini akan memberikan tekanan kepada negara dalam sasarannya untuk mencapai hasil sebanyak RM261.8 bilion pada tahun depan.

Kerajaan menjangkakan pembayaran dividen dari Petronas yang berjumlah RM24 bilion.

Belanjawan 2019 dikira berdasarkan tanda aras minyak mentah Brent pada US$70 setong.

Antara Januari dan September 2018, purata harga minyak mentah Brent berada pada US$ 73.1 setong.

Sementara itu, Zakariah berkata perang perdagangan yang berpanjangan antara Amerika Syarikat dan China juga akan memberi kesan kepada pertumbuhan pada suku keempat.

Bagaimanapun, sekiranya terdapat apa-apa lencongan perdagangan di mana pelabur China akan mula mencari tapak pelaburan di tempat lain termasuk Malaysia, ia mungkin memberi manfaat kepada negara dari segi eksport, katanya.

Pada 2017, Amerika Syarikat dan China adalah antara lima rakan perdagangan Malaysia yang paling utama. – MalaysiaGazette