Walaupun Tony Pua telah menyatakan kesediaan untuk berundur sebagai ketua dan menyatakan sokongan kepada Menteri Komunikasi dan Multimedia, Gobind Singh untuk menggantikannya, tetapi kemelut membabitkan DAP Selangor belum berakhir.
Walaupun Tony Pua telah menyatakan kesediaan untuk berundur sebagai ketua dan menyatakan sokongan kepada Menteri Komunikasi dan Multimedia, Gobind Singh untuk menggantikannya, tetapi kemelut membabitkan DAP Selangor belum berakhir.
PETALING JAYA – Walaupun Tony Pua telah menyatakan kesediaan untuk berundur sebagai ketua dan menyatakan sokongan kepada Menteri Komunikasi dan Multimedia, Gobind Singh untuk menggantikannya, tetapi kemelut membabitkan DAP Selangor belum berakhir.
Kumpulan penentang berpendapat walaupun Tony menyatakan kesediaan melepaskan jawatan ketua, tetapi beliau masih boleh mengekalkan kuasa jika beliau bertanding dalam pemilihan parti.
Sinchew Daily melaporkan, tiga veteran DAP Selangor yang memimpin kem berlainan telah bersatu untuk menghadapi musuh bersama mereka iaitu Tony.
Ketiga-tiga pemimpin itu ialah Speaker Dewan Undangan Negeri, Ng Sue Lim; Exco negeri, Teng Chang Khim dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Pelek, Ronnie Liu.
Satu lagi pemimpin kem di Selangor iaitu ADUN Seri Kembangan, Ean Yong Hian Wah belum menyatakan pendirian secara terbuka.
Ahli DAP Selangor juga mempertikaikan tindakan Tony yang menyatakan pendirian untuk berundur sebagai ketua, tetapi menyatakan sokongan kepada Gobind sebagai penggantinya.
DAP mengamalkan pemilihan berpusingan yang menyaksikan 15 pemimpin dipilih untuk menganggotai jawatankuasa negeri.
Kesemua 15 orang yang terpilih juga boleh dilantik sebagai pengerusi  negeri dalam pemilihan pusingan kedua membabitkan 15 pemimpin terpilih.
“Jika Tony terpilih sebagai salah seorang ahli jawatankuasa DAP negeri, maka kemungkinan beliau dilantik sebagai pengerusi adalah sangat besar.
“Keadaannya adalah berlainan jika beliau langsung tidak bertanding tetapi dilantik ke dalam barisan kepimpinan selepas pemilihan selesai, satu keadaan yang tidak melayakkan beliau untuk menjadi pengerusi,” kata sumber kepada Sinchew Daily.
Rasa tidak puas hati ahli DAP Selangor terhadap Tony berpunca daripada pelantikan ketua kampung, ahli majlis, hinggalah peletakan orang baharu dalam Pilihan Raya Umum 2018.
Tindakan Tony mencalonkan seorang pembaca berita yang tidak pernah berkhidmat dalam Pilihan Raya Kecil Balakong  hanya meningkatkan rasa tidak puas hati terhadap Ahli Parlimen Damansara itu yang juga Setiausaha Politik kepada Menteri Kewangan. – MalaysiaGazette

Tinggalkan Jawapan