Ketua DAP Selangor, Tony Pua mengesahkan bahawa beliau tidak akan mempertahan jawatannya dalam pemilihan parti peringkat negeri pada 9 Disember akan datang.
Tony Pua

PETALING JAYA – Ketua DAP Selangor, Tony Pua mengesahkan bahawa beliau tidak akan mempertahan jawatannya dalam pemilihan parti peringkat negeri pada 9 Disember akan datang.

Tony yang juga Ahli Parlimen Damansara sebaliknya akan mencadang Menteri Komunikasi dan Multimedia, Gobind Singh untuk menggantikannya meneraju DAP Selangor.

Tony mengesahkan perkara itu pada ketika timbul persaingan antara ‘kem elit’ pimpinan Tony dengan ‘kem akar umbi’ dalam pemilihan DAP Selangor.

Sinchew Daily melaporkan, pengunduran Tony untuk mempertahakan jawatannya dijangka akan mengekang rasa tidak puas hati yang timbul.

Menurut akhbar itu, Gobind merupakan calon yang tidak terlibat dengan apa-apa pertikaian, justeru merupakan orang yang boleh diterima.

Ditanya mengenai ‘kem akar umbi’ yang mencalonkan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seri Kembangan, Ean Yong Hian Wah dan ADUN Kinrara, Ng Sze Han untuk meneraju DAP Selangor, Tony berkata, calon yang disokongnya ialah Gobind.

“Saya sudah menyatakan pendirian secara jelas bahawa saya akan mencadangkan Gobind untuk mengambil alih jawatan saya,” katanya.

Rasa tidak puas hati ahli DAP Selangor terhadap Tony berpunca daripada pelantikan ketua kampung, ahli majlis, hinggalah peletakan orang baharu dalam Pilihan Raya Umum 2018.

Tindakan Tony mencalonkan seorang pembaca berita yang tidak pernah berkhidmat dalam Pilihan Raya Kecil Balakong  hanya meningkatkan rasa tidak puas hati terhadap Ahli Parlimen Damansara itu yang juga Setiausaha Politik kepada Menteri Kewangan. – MalaysiaGazette