Menteri Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Datuk Seri Saifuddin Nasution berucap pada Majlis Perhimpunan Bulanan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) di Dewan Serbaguna, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Putrajaya. foto AFFAN FAUZI, 28 NOVEMBER 2018

PUTRAJAYA – Kementerian Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) menubuhkan jawatankuasa khas sebagai persiapan untuk melaksanakan program subsidi petrol secara bersasar.

Kata menterinya, Datuk Saifuddin Nasution Ismail, jawatankuasa yang diketuai oleh Timbalan Ketua Setiausaha KPDNHEP, Badrulhisham Mohd. ditugaskan untuk mengadakan pertemuan dan perbincangan dengan syarikat minyak dalam pelaksanaan janji Pakatan Harapan selain daripada mengenal pasti kelompok sasaran mengikut kelayakan.

“Persiapan itu tertumpu kepada pertama mengenal pasti kelompok pengguna yang layak mengikut kriteria -kriteria yang tertentu, garis pendapatan ataupun jenis kenderaan, mengenal pasti angka akhir yang akan dimuktamadkan.

“(Selain itu) Meneruskan siri berbincang dengan syarikat-syarikat minyak dan pengeluar minyak kerana komponen ini penting sebab pengeluar minyak adalah yang akan berada di barisan hadapan ketika program ini dilaksanakan,” katanya ketika sidang media selepas Perhimpunan Bulan KPDNHEP hari ini.

Tambah Saifudin, jawatankuasa khas itu turut dipertanggungjawab menilai komitment kewangan dengan aspek penjimatan yang boleh diaplikasikan menerusi pelaksanaan program itu nanti.

“Apabila semua itu jadi kemudian nanti lebih merupakan data analisis yang berkaitan sebab ia akan memberi kesan kepada komitmen kewangan kerajaan, kita akan betul-betul pastikan berapa yang akan dapat dijimatkan, apakah akan ada nilai tambah ketika pelaksanaan yang membabitkan B40,” ujarnya.

Saifuddin juga telah memaklumkan kepada Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad mengenai perkembangan terhadap persiapan yang dilakukan kementerian itu terhadap program yang dijangkakan akan dapat dilaksanakan pada suku kedua tahun hadapan.

Beliau dalam masa yang sama mencadangkan kepada Perdana Menteri agar satu tempoh percubaan dilakukan di beberapa lokasi terlebih dahulu untuk menguji sistem yang bakal digunakan untuk program subsidi bersasar itu nanti sebelum ianya laksanakan secara menyeluruh.

Namun menrutnya keputusan terhadap perkara itu masih belum dimuktamadkan.

“Saya juga telah memberikan laporan kemas kini persiapan kepada Perdana Menteri pada dua Isnin yang lalu.

“Saya juga memaklumkan hasrat kami untuk kalau sistem semua kami telah bangunkan untuk kemungkinan mengadakan try run di beberaoa lokasi di beberapa negeri, itu masih di peringkat idea kasar sama ada buat semua terus atau buat di beberapa lokasi untuk menguji sistem, tapi belum ada apa-apa keputusan,” katanya lagi.-MalaysiaGazette