Menteri Komunikasi dan Multimedia, Gobind Singh Deo (tengah) menyerahkan sijil penghargaan kepada wartawan Malaysia Gazette, Azizul Osman (kiri) pada Majlis Pelancaran Program Pengukuhan Jaringan Strategik Merdeka di Sime Darby Centre Jalan Bukit Kiara, Kuala Lumpur. foto HAZROL ZAINAL, 28 NOVEMBER 2018.

KUALA LUMPUR – Portal berita MalaysiaGazette (MG) diangkat sebagai salah satu agensi media strategik oleh Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM).

MG yang berorientasikan politik dan isu semasa itu dipilih kerana menjayakan Sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia 2018 yang julung kali dianjurkan oleh Kerajaan Pakatan Harapan (PH) baru-baru ini.

Ia adalah antara program Pengukuhan Jaringan Strategik Merdeka 2018 yang dianjurkan oleh KKMM.

Program kali ke enam itu turut mengangkat agensi-agensi lain antaranya agensi Kerajaan Persekutuan, Kerajaan Negeri, sektor swasta, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan juga sukarelawan sebagai rakan strategik.

Hadiah disampaikan KKMM, Gobind Singh Deo dengan ditemani Ketua Setiausaha kementerian, Datuk Dr. Mohd Ali Mohamad Nor.

Pada majlis itu MG diwakili wartawannya, Muhammad Azizol Osman.

Kesemua agensi ini diangkat kerana terlibat dalam menjayakan sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia 2018 yang dihadiri seramai 2 juta orang.

Perkara itu dinyatakan menterinya, Gobind Singh Deo.

“Saya dimaklumkan bahawa sambutan ini telah dihadiri seramai dua juta orang bagi keseluruhan program yang diadakan sepanjang Bulan Kemerdekaan 2018,” katanya dalam ucapan perasmian Program Pengukuhan Karangan Strategik Merdeka di Pusat Konvensyen Sime Darby, Bukit Kiara malam tadi.

Sambutan Hari Kemerdekaan 2018 diadakan di Putrajaya sebagai simbol kepada pusat pemerintahan kerajaan baharu PH.

Tema sambutan Hari Kebangsaan pada tahun ini bertema ‘Sayangi Malaysiaku’.

Sambutan Hari Malaysia 2018 pula diadakan di Kota Kinabalu, Sabah dangan dirasmikan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Tahun ini merupakan sambutan ke 55 tahun pembentukan Malaysia. -MalaysiaGazette