Abdul Azeez Abdul Rahim
Abdul Azeez Abd Rahim

PUTRAJAYA – Ahli Parlimen Baling, Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim selesai memberi keterangan hampir tujuh jam kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di sini hari ini.

Menurut sumber SPRM, Abdul Azeez, yang juga ahli Majlis tertinggi (MT) UMNO, keluar dari ibu pejabat SPRM di sini pada kira-kira jam10 malam selepas diminta hadir bagi melengkapkan siasatan suruhanjaya itu berkaitan kes rasuah syarikat kontraktor.

Abdul Azeez tiba untuk memberi keterangan pada jam 3.08 petang dengan menaiki kenderaan pelbagai guna (MPV) berwarna putih.

Menurut sumber SPRM, anggota Parlimen itu sepatutnya hadir ke SPRM semalam untuk memberi keterangan, namun mendapat kebenaran untuk ditangguhkan ke hari ini kerana beliau mahu menghadiri sidang Parlimen.

Pada 25 Sept lalu, SPRM menahan Abdul Azeez dan abangnya, Datuk Abdul Latif , yang juga pengurus besar syarikat hartanah serta seorang pengarah syarikat berhubung kes rasuah syarikat kontraktor berkenaan.

Semua suspek ditahan mengikut Seksyen 16(a) Akta SPRM 2009 bagi membantu siasatan berhubung dakwaan penerimaan rasuah daripada sebuah syarikat kontraktor bagi satu projek Lembaga Tabung Haji (Tabung Haji).

Abdul Azeez, Abdul Latif dan pengarah syarikat itu direman selama empat hari dan selepas itu tempoh reman Abdul Azeez dan abangnya dilanjutkan lagi selama enam hari bagi membolehkan SPRM melakukan siasatan lanjut.

Pada 5 Okt lalu, Abdul Azeez merangkap bekas Pengerusi Tabung Haji bersama abangnya itu dibebaskan dengan jaminan SPRM sebanyak RM500,000 setiap seorang dengan dua penjamin.

— BERNAMA