KUALA LUMPUR – Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi adalah antara empat yang telah memberikan keterangan kepada polis daripada sembilan individu yang diminta berbuat demikian berhubung kenyataan menyentuh sensitiviti agama dan perkauman di laman sosial, kata Ketua Polis Negara Tan Sri Mohamad Fuzi Harun di sini.

“Baru empat daripada sembilan yang beri keterangan, Zahid (Datuk Seri) salah seorang…saya akan semak kembali senarai lain,” katanya kepada pemberita ketika ditemui selepas majlis pelancaran buku Pembuktian dan Pendakwaan dan buku Panduan Siasatan Jenayah melibatkan agen kimia, biologikal radiologikal nuklear serta letupan (CBRNE), di sini hari ini.

Pada 23 Nov lalu, Timbalan Ketua Polis Negara Tan Sri Noor Rashid Ibrahim berkata sembilan pemimpin politik dan blogger akan dipanggil dalam masa terdekat untuk memberi keterangan bagi membantu siasatan.

Ahmad Zahid dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri P. Waytha Moorthy antara sembilan individu dipanggil pihak polis berhubung kenyataan menyentuh sensitiviti agama dan perkauman di laman sosial.

Tujuh lagi ialah Presiden Jaringan Melayu Malaysia Datuk Azwanddin Hamzah; Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanah Rata Chiong Yoke Kong; ADUN Tras Chow Yu Hui; Pengerusi Gabungan 3 Ragvinder Singh dan Timbalannya Amran Ahmad Nor serta blogger Lau Shan Thean dan Muhamad Edi Mohamad Riyas atau Edi Rejang.- BERNAMA