Wan Azizah
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berjalan keluar selepas melawat seorang anggota bomba yang dirawat akibat insiden rusuhan, Muhammad Adib Mohd Kassim di Institut Jantung Negara (IJN), Kuala Lumpur. foto AFFAN FAUZI, 30 NOVEMBER 2018

KUALA LUMPUR – Anggota bomba, Muhammad Adib Mohd Kassim, 24, memerlukan penjagaan rapi bagi mengelak daripada jangkitan kuman ekoran lawatan awam yang ramai.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr.Wan Azizah Wan Ismail berkata, keadaannya masih stabil walaupun kritikal dan pakar-pakar menyediakan rawatan terbaik untuk memulihkannya.

“Keselamatan Adib sepanjang rawatan rapi di sini IJN penting. Adib mesti dijaga dengan baik sebab dia di dalam keadaan very vulnerable (terdedah kepada jangkitan).

“Saya pun biasa jadi doktor dulu, memang kena jaga. Kita tak boleh ada terlalu ramai pelawat kerana kita semua ini pembawa kuman-kuman.

“Dia (Adib) tidak boleh lawan (jangkitan) pada masa ini. Sebab itu saya rasa penting kita jaga semua ini dan doakanlah sekurang-kurangnya dengan doa kita, kita harapkan dia beransur pulih,” katanya dalam sidang media selepas lawatan melawat Muhammad Adib di Institut Jantung Negara petang tadi.

Tambah beliau, paru-paru anggota bomba itu cedera teruk manakala jantungnya menunjukkan pemulihan cuma mengambil masa untuk dipulihkan sepenuhnya. – MalaysiaGazette