Tuesday, April 16, 2024
Home Seni Hidup Fazura, Shane muncul di Konsert Elmina Lakeside

Fazura, Shane muncul di Konsert Elmina Lakeside

KUALA LUMPUR – Pelakon dan penyanyi, Fazura akan bergandingan bekas vokalis kumpulan Westlife, Shane Filan, 39, untuk menjayakan Konsert Elmina Lakeside di Elmina Central Park, Shah Alam pada 19 Januari tahun depan.

Konsert yang dibawa khas oleh Sime Darby Property dengan kerjasama Universal Music Malaysia itu diadakan sempena meraikan penduduk perumahan City of Elmina dan kempen jenama Bandaraya Elmina.

Fazura atau nama sebenar Nur Fazura Sharifuddin tidak dapat menyembunyikan perasaan terujanya kerana bakal bekerjasama dengan Shane.

Gambar Fazura
Fazura

Biarpun mereka berdua mempunyai slot persembahan berasingan bagi konsert tersebut, namun pelantun Sayangi Dirimu itu masih menyifatkan dirinya bertuah kerana terpilih berada dalam satu konsert dengan Shane.

Malah, pihak Universal Music turut mencadangkan untuk mereka merakam lagu duet memandangkan Shane baru sahaja menandatangani kontrak sebagai artis naungan syarikat tersebut baru-baru ini.

Pada persembahan tersebut nanti, Filan dijangka akan mendendangkan rangkaian lagu-lagu popular Westlife dan lagu baharu yang dipetik daripada album solonya.

Sementara itu, dalam waktu terdekat ini, pihak penganjur akan mengumumkan seorang lagi artis yang akan menjayakan acara tersebut. – MalaysiaGazette