kuil
Kenderaan yang dibakar orang ramai susulan daripada insiden rusuhan yang berlaku di tapak Kuil Sri Mariamman, USJ 25, Putra Heights, Subang Jaya, Selangor. foto SYAFIQ AMBAK, 27 NOVEMBER 2018.

PUTRAJAYA – Kerajaan India tidak akan mencampuri urusan Malaysia dan menyokong penuh tindakan yang diambil dalam menangani insiden di Kuil Sri Maha Mariamman di Subang.

Jaminan itu dinyatakan Pesuruhjaya Tinggi India ke Malaysia, Shri Mridul Kumar semasa mengadakan perbincangan dengan Kementerian Luar.

Kementerian Luar berkata, pertemuan dengan PShri Mridul diadakan berikutan memorandum yang diserahkan oleh Presiden Hindu People’s Party, Arjun Sampth kepada Konsulat Jeneral Malaysia di Chennai pada Rabu lalu yang mengutuk insiden kuil itu dan mendakwa kerajaan bersikap berat terhadap penganut Hindu di Malaysia.

“Kerajaan Malaysia memandang serius kenyataan yang dibuat oleh Hindu Makkal Katchi (juga dikenali Hindu People’s Party) tanpa usul periksa yang dilihat sebagai tidak bertanggungjawab dan mempunyai niat jahat untuk mengeruhkan hubungan dua hala yang baik di antara Malaysia dan India,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Hindu Makkal Katchi merupakan sebuah parti politik kecil berhaluan kanan yang ekstremis di daerah Tamil Nadu, India.

Menurut kenyataan itu, Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad telah menyatakan bahawa kejadian itu merupakan kes jenayah dan tidak mempunyai kaitan dengan sentimen perkauman.

Insiden kuil itu menyaksikan 42 orang ditahan, berpuluh kenderaan dibakar selain seorang anggota bomba, Muhammad Adib Mohd Kassim mengenali cedera parah kerana dibelasah perusuh. – MalaysiaGazette