Azmin Ali
Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Azmin Ali bersalaman bersama sebahagian pengunjung yang hadir pada Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agro Pelancongan Antarabangsa (MAHA) 2018 di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS), Serdang, Selangor. foto AFFAN FAUZI, 01 DISEMBER 2018

SERDANG – PKR yakin kerusi Parlimen Cameron Highlands akan bertukar tangan menjadi milik Pakatan Harapan selepas Pilihan Raya Kecil yang mungkin diadakan tidak lama lagi.

Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata, calon yang bakal mewakili Pakatan Harapan akan dibincangkan dan ditentukan dalam Majlis Presiden Pakatan Harapan.

“Kita mahu calon yang bertanding adalah calon Pakatan Harapan bukannya mewakili satu satu parti. Perdana Menteri (Tun Dr. Mahathir Mohamad) telah menegaskan beberapa kali bahawa kita harus bertindak sebagai Pakatan Harapan.

“Saya yakin keputusan boleh dibuat secara konsensus untuk memastikan Cameron Highlands juga menjadi milik rakyat dan Pakatan Harapan dalam pilihan raya akan datang,” katanya selepas melawatPameran Pertanian Hortikultur dan Agro Pelancongan Malaysia (MAHA) 2018 di Serdang hari ini.

Beliau menyatakan demikian ketika ditanya ditanya mengenai hasrat DAP yang mahu bertanding di kerusi Parlimen Cameron Highlands selepas Mahkamah Khas Pilihan Raya memutuskan untuk membatalkan kemenangan calon BN dari MIC, Datuk C. Sivarraajh kerana terdapat elemen rasuah.

Azmin yag juga Ahli Parlimen Gombak percaya keputusan yang berdasarkan konsensus PH akan memberi kelebihan kepada perikatan itu menguasai kawasan tersebut. – MalaysiaGazette