Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) merangkap Ahli Parlimen Port Dickson, Datuk Seri Anwar Ibrahim bersama Ahli Parlimen Setiawangsa, Nik Nazmi Nik Ahmad (kanan) menunjukkan Buku 9 May 2018:Notes From The Frontline sambil Pengarah Urusan Gerak Budaya, Chong Ton SIn (dua kiri) ketika menyempurnakan gimik pelancaran pada Majlis Pelancaran Buku 9 May 2018:Notes From The Frontline di The Curve, Mutiara Damansara, Selangor. foto AFFAN FAUZI, 02 NOVEMBER 2018

KUALA LUMPUR – Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim merasakan tidak ada sebarang kewajaran untuk mana-mana pihak meneruskan perhimpunan bantahan Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi (ICERD) 8 Disember kelak.

Ahli Parlimen Port Dickson itu itu berkata, kerajaan sudah membuat keputusan untuk tidak meneruskan ratifikasi konvensyen tersebut berikutan bantahan pelbagai pihak sebelum ini.

“Saya sudah beri kenyataan sebelum ini tentang isu ini. Saya ingat memadai kita bincang peruntukan ICERD dan mengapa kita harus teliti mungkin dengan mengadakan wacana bagi menjelaskan kepada rakyat berhubung keputusan yang telah dibuat oleh kerajaan.

“Bagi saya, itu yang jauh lebih penting daripada mengadakan perhimpunan. Tidak ada kewajaran untuk bantahan ICERD itu nanti. Memang betul pihak sebelah sana mempunyai hak untuk berhimpun, luahkan pandangan mereka.

“Tetapi tidak munasabah langsung apabila kita sudah tolak ratifikasi ICERD tetapi masih meneruskan perhimpunan,” katanya kepada pemberita selepas majlis pelancaran buku ‘9 May 2018: Notes From The Frontline’ di The Curve, Petaling Jaya sebentar tadi.

Anwar menasihati UMNO dan Pas untuk mengambil kira tentang ‘keresahan serta ketegangan kaum’ sebelum membuat sebarang keputusan untuk meneruskan perhimpunan bantahan ICERD kelak.

“Kalau mereka fikir ratifikasi ICERD ini akan mengguris perasaan masyarakat Melayu, Islam, Kabinet sudah menolak. Saya rasa janggal. Saya harap mereka (PAS-UMNO) tidak akan teruskan perhimpunan itu nanti,” ujarnya.

Dalam pada itu ketika diminta untuk memberi pandangan beliau tentang desakan segelintir pihak perletakan jawatan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, P Waytha Moorty berikutan isu rusuhan kuil Sri Maha Mariamman Seafields baru-baru ini, Anwar enggan memanjangkan perkara tersebut.

“Saya rasa soal itu tidak timbul. Yang penting ketika ini Menteri Besar Selangor sudah memanggil semua pihak dan mencari jalan penyelesaian berhubung penempatan kuil tersebut.

“Insiden rusuhan pula, biar Menteri Dalam Negeri (KDN) dan polis selesaikan perkara itu. Kedudukan Waytha itu budi bicara Perdana Menteri, kita usah campur,” tegasnya. –MalaysiaGazette