Ketua Pemuda Sosialis DAP, Wong Kah Woh bimbang dengan fenomena Pakatan Harapan yang menerima dan menyambut baik wakil rakyat daripada UMNO yang lompat parti.
Gambar hiasan

SERDANG – Ketua Pemuda Sosialis DAP, Wong Kah Woh bimbang dengan fenomena Pakatan Harapan yang menerima dan menyambut baik wakil rakyat daripada UMNO yang lompat parti.

Kah Woh turut menggesa kerajaan Pakatan Harapan supaya menggubal undang-undang ‘antilompat’  yang menetapkan pilihan raya kecil diadakan jika seseorang wakil rakyat keluar parti.

“Jika kita terus menerima wakil rakyat parti lawan, kita akan berdepan akibatnya satu hari nanti.

“Dengan kuasa yang dipegang, maka kita seharusnya memperbetulkan kesilapan yang sedang berlaku dan bukannya mewarisi kesilapan itu,” katanya dipetik Sinchew Daily.

Kah Woh berkata, DAP mengharapkan rakan pakatan terus bertumbuh dan mempunyai suara yang kuat, tetapi bukan melalui cara menerima wakil rakyat parti lawan.

Beliau bagaimanapun mengakui bahawa parti pembangkang mempunyai wakil rakyat berkualiti dan berpengalaman yang mampu menetapkan dasar yang baik untuk kerajaan.

“Jika wakil rakyat pembangkang ini menyertai kami, maka ia akan membawa kebaikan kepada kerajaan.

” Penyertaan mereka bagaimanapun tidak harus mengambil tempat sekarang, tetapi harus berlaku selepas lima tahun apabila mandat yang diberi kepada Pakatan Harapan tamat nanti,” katanya.

Beliau berkata, tindakan menerima wakil rakyat yang menang atas tiket parti lain telah melanggar prinsip demokrasi.

Kah Woh bakal menyerahkan jawatannya kepada Exco Perak, Howard Lee Chuan How yang menumpaskan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tras, Pahang, Chow Yu Hui dalam pemilihan Ketua Pemuda Sosialis DAP pada Ahad. – MalaysiaGazette