Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Nor Hisham Ahmad Dahlan berucap pada Majlis Perasmian dan Pelancaran Konvensyen Komuniti Strata Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur 2018 di Institut Latihan DBKL, Cheras, Kuala Lumpur. foto NOOR ASREKUZAIREY SALIM, 11 OKTOBER 2018
Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Nor Hisham Ahmad Dahlan

KUALA LUMPUR – Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) membenarkan perhimpunan ‘kesyukuran’ meraikan kejayaan menolak ratifikasi Konvensyen Antarabangsa Me­ngenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD) di Jalan Raja, di sini, pada Sabtu ini.

Datuk Bandar Kuala Lumpur Datuk Nor Hisham Ahmad Dahlan berkata pihaknya hanya membenarkan penganjur menggunakan Jalan Raja sahaja iaitu di hadapan Bangunan Sultan Abdul Samad sebagai lokasi perhimpunan dari pukul 2 petang hingga 6 petang.

“Kami telah menerima permohonan daripada penganjur yang terdiri daripada MUAFAKAT (Pertubuhan Muafakat Sejahtera Masyarakat Malaysia), UMMAH (Gerakan Pembela Ummah),dan DAULAT (Persatuan Bekas Angkatan Tentera Tidak Berpencen Malaysia) sahaja pada 27 Nov lepas.

“Sepanjang perhimpunan kesyukuran itu berlangsung, mereka perlu mematuhi syarat-syarat yang ditetapkan…Jalan Raja serta padang Dataran Merdeka akan ditutup pada hari itu,” katanya kepada pemberita selepas bermesyuarat dengan Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Mazlan Lazim di sini, hari ini.

Nor Hisham berkata pihaknya mendapat kerjasama daripada pelbagai agensi penguatkuasaan termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam mengawal lalu lintas dan keselamatan awam.

“PDRM akan bermesyuarat pada Rabu ini bagi membincangkan secara terperinci mengenai perhimpunan itu,” katanya.

Pada 23 Nov lalu, Pejabat Perdana Menteri dalam satu kenyataan berkata kerajaan Pakatan Harapan tidak akan meratifikasi ICERD dan akan terus mempertahankan Perlembagaan Persekutuan yang di dalamnya termaktub kontrak sosial dipersetujui wakil semua kaum ketika pembentukan negara ini.

Susulan kenyataan itu, Ketua Sekretariat Gerakan Pembela Ummah, Aminuddin Yahaya, memaklumkan perhimpunan di Dataran Merdeka pada Sabtu ini tetap diteruskan namun ditukar menjadi majlis kesyukuran.

Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, dilaporkan memaklumkan UMNO akan menyertai perhimpunan itu sebagai tanda ‘terima kasih’ terhadap keputusan kerajaan tidak meratifikasi ICERD.

— BERNAMA

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast