Pengunjung membaca buku laporan Ketua Audit Tahun 2017 Siri 2 selepas diedarkan pada Sidang Dewan Rakyat di Bangunan Parlimen, Kuala Lumpur. foto FAREEZ FADZIL, 03 DISEMBER 2018

KUALA LUMPUR- Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak menyifatkan isu kelewatan pembayaran semula wang input Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) adalah disebabkan oleh kelemahan kerajaan Pakatan Harapan yang gagal menyemak dan membuat pembayaran.

Merujuk Laporan Ketua Audit Negara 2017 Siri 2 yang dikeluarkan hari ini, Najib berkata, kebenaran akhirnya terbukti juga.

“Terima kasih kepada Jabatan Audit Negara untuk mengesahkan bahawa Guan Eng sebenarya seorang penipu bersiri dan cuba tai-chi kelemahan dan kedangkalan sendiri untuk menyalahkan kerajaan Barisan Nasional dahulu.

“Laporan Audit ini juga menunjukkan bahawa ada jumlah yang sangat besar bagi tuntutan bayaran balik yang mungkin tidak sah atau menunjukkan percubaan untuk menipu kastam iaitu RM3.90 bilion untuk mereka yang tiada pembekalan bercukai (no output tax) dan sejumlah RM3.52 bilion yang masih dalam siasatan.

“Oleh itu, saya hairan mengapa Guan Eng tergesa-gesa untuk menjarah wang Petronas berpuluh-puluh bilion untuk tahun depan dengan alasan mahu membayar balik tuntutan-tuntutan ini,” katanya di laman Facebooknya hari ini.

gst2Laporan Ketua Audit Negara 2017 Siri 2, menunjukkan jumlah wang input GST yang belum dibayar balik setakat 5 Jun 2018 sebenarnya ialah RM19.47 bilion manakala jumlah yang telah diluluskan tetapi belum dibayar hanya RM1.45 bilion dan ini juga kerana pelbagai masalah seperti akaun penerima ditutup, dibeku ataupun kurang dari 30 hari.

Sebanyak RM3.90 bilion merupakan tuntutan pulang balik yang tiada pembekalan bercukai dan sejumlah RM3.52 bilion yang masih dalam siasatan – bermakna wang ini mungkin tidak sah untuk dibayar balik.

Tunggakan yang terbesar pula ialah jumlah RM9.65 bilion yang dikategorikan sebagai wang dalam siasatan bagaimanapun laporan tersebut juga mengesahkan bahagian terbesar tunggakan ini ialah dari 90 hari ke bawah.

gst1“Tuntutan untuk bulan April dibayar pada bulan Mei manakala tuntutan untuk bulan Mei dibayar pada bulan Jun.

“Ini bermaksud bahawa jikalau wang input GST lambat dibayar balik, ianya ialah kesalahan kerajaan PH sendiri.

Yang tidak semak dan tidak bayar ialah PH sendiri,” katanya lagi.

Laporan tersebut juga mengesahkan Jabatan Kastam Diraja Malaysia di bawah pentadbiran kerajaan BN cekap di dalam urusan pembayaran balik tuntutan GST, katanya.-MalaysiaGazette