Menteri Pendidikan Dr Maslzee Malik berkata, 1MDB akan dimasukkan dalam sejarah negara.

KUALA LUMPUR – Bekas menteri pendidikan yang kini Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, isu yang ingin diangkat sebagai silibus dalam sesuatu mata pelajaran akan dipertimbangkan oleh panel khas dan bukannya boleh dibuat sesuka hati.

Sehubungan dengan itu, katanya, Menteri Pendidikan sekarang, Dr Maszlee Malik tidak seharusnya mengeluarkan kenyataan sesuka hati berhubung sukatan pelajaran di sekolah.

“Saya sebagai menteri pendidikan dulu memang ada panel jawatankuasa untuk silibus pendidikan…bila (isu) sudah jelas kita terima penjelasan, saya pun kena berhati hati, media pun tolong bantu jangan cedok (berita) tidak betul,” kata Muhyiddin ketika ditanya mengenai kenyataan Maszlee.

Panel itu dinamakan Jawatankuasa Kajian Kurikulum Kementerian Pendidikan.

Dalam pada itu, Muhyiddin turut menjelaskan, bahawa beliau sudah menghubungi Maszlee atas kapasiti Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM).

Katanya, beliau juga telah mendengar penjelasan dari mulut Mazlee sendiri mengenai apa yang berlaku di Dewan Rakyat.

“Sebagai rakan dan presiden saya dah hubungi beliau dan dia dah jelaskan bahawa kenyataan itu dibuat sebagai respon kepada Ahmad Maslan punya soalan.

“Dia (Mazlee) nyatakan media telah mencedok (sebahagian sahaja kenyataannya) yang memberi gambaran seolah-olah dia buat kenyataan begitu (1MDB dimasukkan dalam silibus pengajian Sejarah).

“Dia dah buat pembetulan dan eloklah dia buat pembetulan,” katanya lagi.

Maszlee nafi jadikan skandal 1MDB sukatan subjek Sejarah

Skandal 1MDB akan dimasukkan dalam buku sejarah generasi akan datang

Maszlee semalam dilaporkan berkata isu berkaitan skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan penyelewengan membabitkan ahli politik akan dimasukkan sebagai sukatan pelajaran Sejarah di sekolah.

Beliau menjawab soalan tambahan Datuk Seri Ahmad Maslan (BN-Pontian) pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat, semalam.

Bekas Timbalan Menteri Kewangan itu ingin mengetahui fakta sejarah yang menjadi kontroversi dalam negara dan garis masa ditetapkan bagi membolehkannya dijadikan sebahagian daripada pengisian mata pelajaran. -MalaysiaGazette

Tinggalkan Jawapan