Dr Maszlee Malik

KUALA LUMPUR – Kenyataan Menteri Pendidikan yang membandingkan perubahan Sarawak dan Johor dalam tempoh 40 tahun seolah-olah menghina penduduk bumi Kenyalaang itu.

Pemuda Gabungan Parti Sarawak (GPS) berkata, adalah sangat tidak masuk akal untuk Dr Maszlee Malik membuat perbandingan seumpama itu kerana saiz Sarawak hampir menyamai seluruh Semenanjung. Malah, Johor jauh lebih kecil.

“Untuk membandingkan Sarawak dengan Johor menunjukkan betapa naifnya Dr Maszlee dan seolah-olah menghina orang Sarawak,” kata GPS dalam satu kenyataan sambil mendakwa keadaan Sarawak menjadi seperti itu disebabkan kekayaan negeri itu selama ini dikaut kuasa imperialis Malaya.

Menurut GPS, perlu diingat bahawa bidang pendidikan adalah di bawah bidang kuasa Kerajaan Persekutuan, bukan kerajaan negeri dan mereka yang pernah menjadi Menteri Pendidikan sebelum ini termasuklah Tun Dr Mahathir Mohamad (1974-1978), Datuk Seri Anwar Ibrahim (1986-1991) dan Tan Sri Muhyiddin Yassin (2009-2013 dan 2013-2015).

“Kenyataan beliau yang menyebut bahawa tidak masuk akal negeri sekaya Sarawak mempunyai banyak lagi sekolah daif, ibarat ‘meludah ke langit.

“Kenyataan Dr Maszlee yang meminta Sarawak supaya kurangkan politiking amat melucukan kerana kenyataan beliau sendiri jelas berbau politik dan cuba menyalahkan kerajaan negeri Sarawak sebagai bertanggunjawab terhadap masih adanya sekolah-sekolah daif di Sarawak,” tegas GPS.

Jelasnya, GPS menyambut baik kenyataan Maszlee untuk menyelesaikan isu sekolah daif di Sarawak dan berharap beliau benar-benar serius dengan kenyataannya itu, bukan seperti janji yang tidak ditepati beliau untuk menghapuskan tol Simpang Renggam jika Pakatan Harapan (PH) menang.

Menurut GPS, semua harus menghentikan tindakan menunding jari kerana semua perlu bertanggungjawab dan bergerak ke hadapan ke arah menangani masalah rakyat, bukannya asyik hendak mencari salah orang lain.

Menteri Pendidikan harus melihat sekolah sebagai wadah untuk melahirkan anak bangsa masa depan negara dan bukannya yang perlu dikorbankan di arena politik demi mengejar darjat dan kuasa.

Apabila Kerajaan Sarawak menegaskan betapa pentingnya sekolah-sekolah daif ini dibina semula atau dinaiktaraf, bermakna ia benar-benar mendesak untuk dilaksanakan, kata GPS.

Ini kerana, kebanyakan sekolah-sekolah tersebut sudah wujud lebih daripada 30 hingga 40 tahun yang lalu dan sudah tiba masanya untuk ia sama ada dinaik taraf atau dibina baru.

Ujarnya, jika Kerajaan Persekutuan mahu melihat Sarawak berdikari sepenuhnya, maka kembalikan 100 peratus hasil minyak dan gas negeri itu serta berikan autonomi penuh bidang pendidikan kepada kerajaan Sarawak.

“Kita akan mengendalikannya dengan cara kami. Kita berharap Dr Maszlee sendiri akan menyokong penuh jika usul ini dibawa ke Dewan Rakyat,” katanya sambil berharap Menteri Pendidikan itu dapat memohon kepada Menteri Kewangan, supaya memberikan peruntukan lebih besar untuk menangani isu sekolah daif dan bukannya hanya menyediakan RM100 juta untuk dikongsi seluruh negara.

GPS berkata, kerajaan dahulu telah meluluskan peruntukan RM2.5 bilion untuk membaiki dan menaiktaraf sekolah daif bagi 2018 dan 2019, masing-masing RM1 bilion untuk Sabah dan Sarawak, RM500 juta untuk Semenanjung.

“Pada 2018 (sebelum PRU-14) kerajaan sebelumnya telah menyediakan peruntukan RM419.05 juta untuk membina dan membaikpulih sekolah daif di Sarawk.

“Sebanyak 50 sekolah yang dibina Jabatan Kerja Raya (JKR) telah siap dengan kos RM138.45 juta. Manakala daripada 66 sekolah di bina Kementerian Pendidikan dengan kos RM280.6 juta, 17 lagi belum siap.

“Ada baki RM581 juta peruntukan untuk Sarawak sepatutnya dibawa ke tahun 2019, namun kini Kerajaan Pakatan Harapan hanya memperuntukan RM100 juta untuk seluruh negara,” katanya. – MalaysiaGazette