Gambar hiasan

KUALA TERENGGANU – Tiga suspek ditahan polis susulan kematian seorang lelaki berumur 42 tahun yang didakwa mencuri pisang di Kampung Tebakang, Bukit Payung, Marang, petang semalam.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Terengganu ACP Fazlisyam Abdul Majid berkata ketiga-tiga lelaki berkenaan ditangkap di sekitar Bukit Payung antara pukul 5 petang dan 11 malam semalam.

“Tiga lelaki berkenaan ialah seorang pemilik kebun pisang berumur 38 tahun dan anak saudaranya berumur 15 tahun serta seorang rakan mangsa berumur 37 tahun.

Ketiga-tiga mereka kini direman selama lima hari bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan,” katanya kepada pemberita dalam sidang media di Ibu Pejabat Kontinjen Terengganu di sini, hari ini.

Lelaki ditemui mati tertiarap bersama dua tandan pisang

Fazlisyam berkata susulan tangkapan itu polis turut merampas sebatang besi yang dipercayai digunakan suspek utama untuk memukul mangsa.

“Kesemua suspek didapati positif dadah methamphetamine manakala suspek utama iaitu pemilik kebun pisang turut mempunyai rekod jenayah iaitu mencederakan orang dan menceroboh,” katanya.

Semalam tular di media sosial berita seorang lelaki ditemui mati tertiarap di bahagian belakang sebuah rumah di Kampung Tebakang akibat dipukul sekumpulan lelaki kerana mencuri pisang milik orang kampung.

Mengenai tindakan suspek utama memukul mangsa, Fazlisyam percaya ia dilakukan suspek kerana terlalu marah kerana dikatakan mangsa telah berulang kali mencuri pisang dari kebunnya di Alor Limbat.

“Saya menasihatkan orang ramai agar tidak sewenang-wenangnya mengambil tindakan sendiri kerana kita ada undang-undang.

Walaupun kita merasakan tindakan mangsa satu kesalahan dan tidak adil, orang ramai sepatutnya menyerahkan kepada polis dan agensi penguatkuasa … buat laporan jika ada kes dan kita bagi jaminan setiap kes dikendalikan mengikut undang-undang,” katanya.

Terdahulu, ketiga-tiga suspek dibawa ke Mahkamah Majistret Marang bagi mendapatkan perintah reman dan Majistret Engku Nurul Ain Engku Muda membenarkan suspek direman lima hari bermula hari ini bagi membantu siasatan kes itu.

— BERNAMA