Najib Razak

KUALA LUMPUR- Cadangan untuk mewujudkan Amanah Pelaburan Hartanah (REIT) bagi lapangan terbang untuk menjana dana sebanyak RM4 bilion adalah cara kerajaan untuk menjual aset negara kepada pihak swasta, kata bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Menurut beliau, selepas menjual kepentingan syarikat penjagaan kesihatan IHH Berhad kepada Mitsui & Co Ltd secara rundingan terus tanpa tender serta cadangan penjualan 25 peratus kepentingan Petronas, REIT untuk lapangan terbang, hospital awam, stesen keretapi dan tanah-tanah menjadi sasaran kerajaan Pakatan Harapan untuk dijual.

Jelasnya, jika kerajaan benar-benar perlukan dana sebanyak RM4 bilion adalah lebih mudah sekiranya dilakukan melalui penerbitan sukuk dengan membayar faedah sebanyak empat peritus setahun berbanding REIT yang mempunyai kadar faedah yang lebih tinggi iaitu 6.25 peratus setahun.

“Jika Menteri Kewangan PH mengumumkan secara terus bahawa mereka akan jual sekurang-kurangnya 30 peratus dari lapangan terbang, bangunan hospital-hospital awam, stesen keretapi dan tanah-tanahnya, tentu ramai akan membantah.

“Sebenarnya, mereka sudah umumkan tetapi ramai rakyat biasa tidak sedar kerana cara licik mereka mengumumkan ini.

“Ini adalah petikan daripada muka surat 16 ucapan Belanjawan 2019 yang dibentangkan oleh Menteri Kewangan,” katanya di dalam satu hantaran terbaharu di Facebooknya.

Tambah Najib, ketika ini kesemua lapangan terbang dan tanah-tanahnya adalah milik penuh kerajaan manakala Malaysia Airports Holdings Bhd. (MAHB) selaku pengendali mempunyai perjanjian konsesi dengan kerajaan untuk menyewanya dengan bayaran sekitar RM400 juta setahun hasil daripada kutipan cukai penerbangan yang dikutip daripada pengguna lapangan terbang.

Bagaimanapun katanya, selepas kewujudan REIT MAHB dijangka terpaksa membayar sekitar RM750 juta setahun.

“MAHB pula terpaksa menaikkan cukai penerbangan untuk menampung kenaikkan ini. Cukai ini sudahpun diumum akan bertambah sebanyak RM40 seorang tahun depan.

“Pada masa yang sama, kerjaan tidak lagi memiliki 100 peratus lapangan-lapangan terbang dan tanahnya tetapi hanya 70 peratus

“Oleh kerana pegangan 70 peratus ini di dalam bentuk unit-unit amanah yang cair (liquid), maka jauh lebih senang untuk kerajaan menjual lagi milik mereka dalam tanah lapangan terbang ini.

“Kalau hari ini telah jual 30 peratus, esok boleh jual sampai 60 peratus atau 100 peratus,” katanya lagi.

Selain REIT lapangan terbang, kerajaan di dalam Belanjawan 2019 turut merancang menerbitkan REIT untuk bangunan-bangunan hospital awam, stesen keretapi dan tanah-tanah miliknya. – MalaysiaGazette