Tabung Haji
Imej Tabung Haji sebagai sebuah Institusi Kewangan Islam yang terunggul ini perlu dipelihara oleh masyarakat Islam di Malaysia dan menaikkan imej Malaysia di persada dunia.

KUALA LUMPUR – Datuk Seri Najib Razak pelik apabila secara tiba-tiba media Singapura melaporkan Lembaga Tabung Haji (Tabung Haji) kekurangan dana RM4 bilion.

Menurut beliau, tuduhan itu tidak mendakwa RM4 bilion telah dirompak atau dicuri tetapi ada pemalsuan akaun hingga membolehkan Tabung Haji untuk membayar dividen yang lebih tinggi dari sepatutnya untuk tahun-tahun yang lalu.

“Pokoknya ialah ia satu tuduhan berat di mana Tabung Haji didakwa terlebih bayar dividen kepada semua pencarum untuk beberapa tahun. Berat tuduhan ini. Iaitu membayar dividen yang terlalu tinggi. Alangkah kejamnya TH ini,” katanya sambil mempersoalkan bagaimana isu ini dibongkarkan oleh media milik kerajaan Singapura pada minggu sama Himpunan 812 akan diadakan.

Kelmarin, Straits Times Singapura mendedahkan Tabung Haji kerugian RM4 bilion apabila akaunnya dipalsukan.

Akhbar itu berkata, pengurusan Tabung Haji telah memalsukan akaun bagi pembayaran dividen sebanyak 6.25 peratus  sebelum pilihan raya lalu membabitkan sejumlah RM2.7 bilion.

Bekas Perdana Menteri itu cukup musykil identiti individu yang menjadi sumber yang mendedahkan perkara itu kepada akhbar berkenaan.

Soal Najib, bagaimana pemalsuan itu boleh berlaku ketika Tabung Haji telah diaudit dan aset dinilai dengan teliti.

Malah, katanya, Tabung Haji dijamin sepenuhnya oleh kerajaan dan pendeposit tidak berada dalam situasi wang mereka akan hilang.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Pekan itu turut pelik apabila sumber tidak dinamakan dalam laporan tersebut mengemukakan cadangan-cadangan untuk mengatasi masalah RM4 bilion tersebut.

Cadangan itu termasuklah Tabung Haji akan mengisytihar dividen jauh lebih rendah pada tahun ini untuk mengurangkan “jurang” RM4 bilion ini.

Menurut Najib, semua tahu bahawa pasaran saham dan ekonomi negara berada dalam prestasi buruk sejak Pilihan Raya Umum Ke-14 dan sudah tentu dividen akan lebih rendah untuk tahun ini.

Berikutan itu, Najib menjangkakan kerajaan Pakatan Harapan akan menggunakan ‘kisah RM4 bilion’ ini sebagai alasan untuk menyalahkan Barisan Nasional dan mengisytihar dividen yang rendah untuk pendeposit Tabung Haji.

“Tabung Haji di bawah kerajaan PH terpaksa membayar dividen yang sangat rendah tahun ini kerana kerajaan BN telah membayar dividen yang terlebih tinggi untuk tahun-tahun yang lepas.

“Jalan yang paling mudah ialah untuk reka satu cerita untuk menyalahkan BN,” kata Najib. – MalaysiaGazette