Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi. foto FAREEZ FADZIL, 03 DISEMBER 2018
Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi. foto FAREEZ FADZIL, 03 DISEMBER 2018

KUALA LUMPUR – Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mendesak Yang di-Pertua Dewan Rakyat, Datuk Mohamad Ariff Md Yusof  membenarkan Ahli Parlimen Cameron Highlands, Datuk C. Sivarraajh menghadiri sidang Dewan Rakyat.

Katanya, tindakan Mohamad Ariff memerintah Sivarraajh meninggalkan Dewan Rakyat nyata bertentangan dengan Perkara 50 Perlembagaan Persekutuan.

“Yang di-Pertua Dewan Rakyat perlu membenarkan Sivarraajh menghadiri sidang Parlimen sepertimana diperuntukkan di bawah Undang-undang Pilihan Raya.

“Ini kerana kes pembatalan keputusan pilihan raya Cameron Highlands masih lagi dalam proses rayuan dan beliau masih lagi Ahli Parlimen yang sah,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Dalam sesi pagi persidangan Dewan Rakyat hari ini, Mohamad Ariff mengarahkan Sivarraajh meninggalkan Dewan Rakyat.

Ia dengan alasan beliau perlu mendapatkan pengesahan sama ada diberi penangguhan, susulan keputusan mahkamah membatalkan kemenangannya pada Pilihan Raya Umum (PRU-14) lalu.

Justeru itu, Ahmad Zahid mempertikaikan keputusan itu kerana masih terdapat proses rayuan yang boleh dilakukan Sivarraajh.

“Tidak ada sebab Sivarraajh diusir semata-mata kerana desakan Ahli Parlimen Jelutong, RSN Rayer, tanpa meneliti peruntukan Parlimen.

“Apabila Mahkamah Pilihan Raya membatalkan kemenangan beliau dan menyebabkan kemungkinan satu pilihan raya kecil diadakan, pihak yang tidak berpuas hati dengan keputusan tersebut boleh membuat rayuan ke Mahkamah Persekutuan,” katanya lagi.

Pada 30 November lalu, Mahkamah Pilihan Raya mengisytiharkan keputusan kerusi Parlimen Cameron Highlands pada PRU14 yang dimenangi BN sebagai terbatal dan tidak sah selepas didapati wujud amalan rasuah yang diketahui dan mendapat keizinan Sivarraajh. -MalaysiaGazette