C. Sivarraajh

KUALA LUMPUR – Datuk C. Sivarraajh diarah keluar dari Dewan Rakyat ketika sesi perbahasan berlangsung dan hanya boleh kembali sekiranya mendapat perintah mahkamah untuk membolehkan beliau duduk di kerusi Ahli Parlimen Cameron Highlands.

Yang di-Pertua Dewan Rakyat, Datuk Mohamad Ariff Md. Yusof ketika mengeluarkan arahan itu turut menasihatkan Sivarraajh yang juga merupakan Naib Presiden MIC supaya mendapatkan nasihat peguam tentang kehadiran beliau ke Dewan Rakyat.

“Anda kini adalah ‘wakil asing’ dalam Dewan ketika ini. Sila tinggalkan majlis ini sekiranya tidak ada sebarang perintah penggantungan dari mahkamah. Dapatkan nasihat daripada peguam yang pakar sebelum boleh hadir ke Dewan,” katanya kepada Sivarraajh.

Sivarraajh kemudian cuba menerangkan beliau masih boleh hadir ke Dewan dan boleh menjadi wakil rakyat Cameron Highlands sehingga kesnya yang kini dalam proses rayuan 14 hari selesai.

“Perintah penggantungan saya hanya akan dapat selepas membuat rayuan, saya tidak faham mengapa Lim Guan Eng yang disabitkan dengan kes rasuah tetapi boleh menjadi Menteri Kewangan dan juga Ahli Parlimen.

“Dalam isu saya, tidak ada bukti yang menunjukkan saya telah melakukan rasuah seperti yang didakwa,” katanya.

Namun demikian, Mohamad Ariff memintanya untuk meninggalkan Dewan sehingga mendapatkan perintah penggantungan itu.

Terdahulu, Ahli Parlimen Jelutong (PH), RSN Rayer melahirkan rasa hairan bagaimana Sivarraajh masih dibenarkan hadir ke Dewan Rakyat memandangkan mahkamah telah memutuskan kemenangan beliau terbatal kerana ada elemen rasuah.

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur Jumaat lepas memutuskan kemenangan Sivarraajh bagi kerusi Parlimen Cameron Highlands pada PRU-14 adalah terbatal dan tidak sah akibat rasuah.

Oleh itu, Hakim Datuk Azizah Nawawi memerintahkan agar pilihan raya kecil diadakan bagi kerusi parlimen itu. –MalaysiaGazette

Kerusi Parlimen Cameron Highlands kini kosong

Kekosongan kerusi Parlimen Cameron Highlands ke mesyuarat PH

Mesyuarat khas hadapi PRK Cameron Highlands – Wan Rosdy