Stadium Nasional Bukit Jalil.

KUALA LUMPUR- Semua stadium dan prasarana fizikal di Kuala Lumpur Sport City (KLSC) Bukit Jalil berada di dalam keadaan sempurna dan selamat digunakan.

Kementerian Belia dan Sukan dalam satu kenyataannya di sini hari ini berkata, kesemua fasiliti dan stadium tersebut telah memperolehi Certificate of Completion and Compliance (CCC) dan dipilih sebagai venue penganjuran acara-acara utama termasuklah perlawanan yang melibatkan pasukan Malaysia di Kejohanan Piala AFF Suzuki 2018 dan The Kuala Lumpur Major 2018.

“Sehubungan itu, orang ramai mahupun mana-mana pihak disarankan supaya tidak perlu bimbang berhubung perkara ini.

“Di samping itu, KBS akan bekerjasama dengan erat bersama Jabatan Audit Negara bagi mengambil langkah pembetulan seperti yang telah disarankan,” katanya dalam satu kenyataan menjawab saranan Ketua Audit Negara, Tan Sri Madinah Mohamad yang meminta Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) menyiasat isu punitif membabitkan kementerian berkenaan.

Tambah KBS, kementerian dan Pejabat Audit Negara telah bersetuju bahawa KLSC berada dalam keadaan baik dan selamat bagi penganjuran sebarang acara dan aktiviti sekaligus cadangan Pejabat Audit Negara yang mahukan KLSC ditutup sementara tidak perlu dilaksanakan.

“KBS tidak akan berkompromi terhadap mana-mana pihak yang gagal mematuhi prosedur keselamatan yang telah ditetapkan.

“Ini bagi memastikan orang awam dan pelanggan dapat menggunakan kemudahan yang disediakan dalam keadaan selamat serta menjalankan aktiviti dengan baik,”katanya lagi.-MalaysiaGazette

Tinggalkan Jawapan