Kerajaan sedang mengkaji untuk meluaskan peranan kad subsidi bahan api bagi merangkumi minyak masak, tepung, diesel dan gas petroleum cecair.
Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Kerajaan sedang mengkaji untuk meluaskan peranan kad subsidi bahan api bagi merangkumi minyak masak, tepung, diesel dan gas petroleum cecair.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Seri Saifuddin Nasution berkata, kad tersebut harus memenuhi beberapa ciri termasuk mudah, selamat, serta boleh digunakan di semua stesen minyak.

“Jika kerajaan mahu mengkaji semua bahan bersubsidi pada masa depan, kita boleh meneruskan penggunaan sistem sedia ada,” katanya kepada China Press.

Saifuddin berkata, kerajaan bagaimanapun perlu memastikan kelancaran kad subsidi bahan api sebelum memutuskan lebih banyak bahan bersubsidi dirangkumkan dalam kad itu.

Katanya, memandangkan kerajaan telah menetapkan supaya hanya pemilik kereta di bawah 1500 cc dan motosikal 125 cc serta hanya golongan B40 layak menikmati kad subsidi, maka agensi terbabit perlu meneliti individu yang layak.

“Oleh itu, Jabatan Pendaftaran Negara dan Jabatan Pengangkutan Jalan perlu mengenal pasti mereka yang layak untuk mengelakkan penyalahgunaan,” katanya.

Beliau berkata, kementeriannya sedang berbincang dengan beberapa pihak berkepentingan mengenai kad tersebut.

“Pihak yang terbabit termasuk Kementerian Kewangan, Bank Negara, Unit Perancang Ekonomi, Jabatan Pendaftaran Negara dan Jabatan Pengangkutan Jalan.

“Selain itu, kami juga berjumpa dengan Persatuan Pengedar Petroleum dan Persatuan Pengguna Malaysia.” katanya.