Pandikar Amin Mulia

KUALA LUMPUR – “Jika saya yang bertugas sebagai Yang di-Pertua Dewan Rakyat pada masa itu, saya tidak akan sesekali mengarahkan Ahli Parlimen Cameron Highlands, Datuk Sivarrajh keluar Dewan dengan mengatakan beliau adalah ‘wakil asing’.

Begitulah jawapan Tan Sri Pandikar Amin Mulia kepada MalaysiaGazette sebentar tadi berhubung insiden yang berlaku kepada Sivarraajh yang juga Naib Presiden MIC hari ini. 

Pandikar yang merupakan bekas Speaker Dewan Rakyat berkata, beliau tidak berniat untuk mengkritik keputusan Datuk Mohamad Ariff Md Yusof namun memberi bayangan jawapan seandainya beliau yang menjadi Speaker.

“Pada saya, secara umum, Sivarraajh masih lagi mempunyai tempoh 14 hari untuk membuat rayuannya malah tidak ada ‘kewajaran’ bagi Speaker untuk bertanyakan adakah YB Cameron Highlands sudah menghantar permohonan rayuan.

“Sehingga Speaker menerima notis daripada Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) tentang pengosongan kerusi untuk Cameron Highlands atas apa jua alasan, wakil rakyat Cameron Highlands masih layak bergelar Ahli Parlimen bagi kerusi tersebut dengan sah dan berhak untuk menghadiri persidangan” katanya ringkas sebentar tadi.

Pada 30 November lalu, Mahkamah Pilihan Raya mengisytiharkan keputusan kerusi Parlimen Cameron Highlands pada PRU14 yang dimenangi BN sebagai terbatal dan tidak sah selepas didapati wujud amalan rasuah yang diketahui dan mendapat keizinan Sivarraajh.

Mohamad Ariff hari ini ketika mengeluarkan arahan itu turut menasihatkan Sivarraajh supaya mendapatkan nasihat peguam tentang kehadiran beliau ke Dewan Rakyat.

“Anda kini adalah ‘wakil asing’ dalam Dewan ketika ini. Sila tinggalkan majlis ini sekiranya tidak ada sebarang perintah penggantungan dari mahkamah. Dapatkan nasihat daripada peguam yang pakar sebelum boleh hadir ke Dewan,” katanya MalaysiaGazette