Mohamed Hanipa Maidin
Mohamed Hanipa Maidin

KUALA LUMPUR – Rancangan kerajaan Pakatan Harapan (PH) untuk memisahkan peranan Pendakwa Raya Negara dengan Peguam Negara disifatkan agak ‘terbantut’ berikutan kebimbangan tidak cukup sokongan dua pertiga bagi tujuan meminda perlembagaan tersebut.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Mohamed Hanipa Maidin berkata, pihaknya tidak dapat meneruskan rancangan tersebut yang juga merupakan janji manifesto PH sebelum Pilihan Raya Umum ke-14 lepas kerana tiada sokongan majoriti.

Pelaksanaan cadangan itu memerlukan pindaan terhadap Perkara 145 Perlembagaan Persekutuan, selain semakan semula undang-undang berkaitan kuasa Pendakwa Raya dan Peguam Negara yang diperuntukkan di bawah Kanun Tatacara Jenayah serta Akta Tafsiran 1948 dan 1967.

“Akan berlaku cuma kita tidak pasti bila ianya akan berlaku. Kita memerlukan sokongan di sebelah sana untuk mencukupkan korum 2/3 itu.

“Bagaimanapun ia sudah bincangkan agak mendalam oleh pentadbiran sekarang dan yakin sekiranya ada jaminan pihak pembangkang setuju dengan kita dan perkara ini rasanya boleh kita pinda. Kita sebenarnya agak komited dengan rancangan ini,” katanya ketika sesi Dewan Rakyat hari ini.

Hanipa mengulas soalan Ahli Parlimen Sungai Petani (PH), Datuk Johari Abdul apakah perkembangan terbaru mengenai rancangan pemisahan antara Peguam Negara dan Pendakwa Raya Negara.

Johari kemudian bangkit bangun dan melontar cadangan supaya kerajaan melakukan inisiatif dengan menubuhkan sebuah jawatankuasa berkaitan perkara sebagai permulaan ‘melobi’ rancangan ini.

“Saya pasti pihak pembangkang juga mahukan perubahan, seandainya sebuah jawatankuasa ditubuhkan dan menjemput semua pihak memulakan inisiatif itu bersama-sama pembangkang, mungkin sokongan majoriti itu kita boleh dapat,” ujarnya.

Dalam pada itu, Ahli Parlimen Kubang Kerian (PAS), Datuk Tuan Ibrahim bangun dan memberi sokongan berhubung cadangan pemisahan itu yang disifatkan akan memberikan kebaikan serta ketelusan ketika pendakwaan sesebuah kes itu.

“Pas akan menyokong penuh. Pemisahan kuasa ini perlu dipercepatkan jika mahu lakukan perubahan seperti yang dikatakan itu,” katanya.

Dalam pada itu, Ahli Parlimen Pontian (BN), Datuk Ahmad Maslan turut bangun menyatakan sokongan dan tiada sebarang halangan seandainya rancangan pemisahan itu membawa kepada keadilan serta kebaikan.

Sebelum ini, Badan Peguam Malaysia pernah mencadangkan kepada kerajaan baharu untuk memansuhkan fungsi pendakwa raya daripada Peguam Negara kerana ia merupakan langkah yang perlu untuk mengukuhkan kebebasan pendakwa raya.

Presidennya,George Varughese berkata, adalah penting untuk memisahkan pejabat Peguam Negara daripada pejabat Pendakwa Raya, supaya Peguam Negara hanya bertindak sebagai penasihat kepada kerajaan dan Ketua Pendakwa Raya yang berasingan membuat keputusan mengenai perkara-perkara berkaitan pendakwaan. –MalaysiaGazette