Pengerusi Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) Wan Saiful Wan Jan bercakap pada Sidang Media Pelaksanaan Dasar-Dasar Baharu PTPTN di Menara PTPTN, Kuala Lumpur. foto SYAFIQ AMBAK, 05 DISEMBER 2018

KUALA LUMPUR – Pemotongan pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Nasional (PTPTN) secara mandatori akan dimulakan pada Januari ini.

Malah, kerajaan tidak akan memansuhkan yuran pentadbiran.

Pengerusinya Wan Saiful Wan Jan berkata, walaupun menerima banyak cadangan terhadap pemansuhannya namun tidak ada keputusan untuk mengubah dasar berkaitannya.

“Saya rasa ini satu pandangan yang kita dengar beberapa kali, antara yang kita boleh pertimbangan.

Tetapi sekarang ini kita belum buat keputusan untuk mengubah apa-apa dasar mengenai hal itu,” katanya pada sidang media di sini.

Terdahulu, beliau berkata, PTPTN sedang bekerjasama dengan enam agensi iaitu Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), Jabatan Akauntan Negara, Urusan Gaji Angkatan Tentera, Kumpulan Wang Persaraan (KWAP) dan Perkhidmatan Awam untuk mendapatkan maklumat pendapatan dan butiran peminjam dan majikan.

“Maklumat yang diperoleh PTPTN itu akan digunakan untuk  arahan potongan gaji mengikut peratus potongan kepada majikan. Seterusnya menjadi tanggungjawab majikan untuk membuat potongan gaji pekerja bagi bayaran balik pinjaman mereka kepada PTPTN.

“Bagi peminjam yang tidak termasuk dalam penggajian dengan mana-mana majikan, mereka dikehendaki membuat pengesahan maklumat pendapatan melalui portal PTPTN bagi membolehkan mereka menikmati kemudahan ansuran bayaran balik berdasarkan kepada peratusan pendapatan,” jelasnya.

Tambah beliau majikan juga digalakkan memberikan insentif membantu pekerja membayar balik pinjaman sama ada bulanan mahupun bayaran sekaligus.

Majikan yang bertindak sedemikian akan diberikan pelepasan cukai bagi jumlah bantuan bayaran PTPTN kepada pekerja mereka.

“Sukacita saya maklumkan bahawa mana-mana majikan yang membantu membayar pinjaman PTPTN untuk pekerja sepenuh masa mereka akan diberikan pelepasan cukai,” kata beliau.

Terkini, katanya seramai 225,000 peminjam dikenalpasti akan bebas daripada pembayaran balik pinjaman kerana berpendapatan kurang daripada RM2,000.- MalaysiaGazette