Datuk Seri Mukhriz Mahathir
Mukhriz Mahathir

ALOR SETAR – Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) mengesahkan menerima permohonan daripada Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Guar Chempedak Datuk Dr Ku Abdul Rahman Ku Ismail untuk menyertai parti itu baru-baru ini.

Perkara itu dinyatakan Timbalan Presiden parti Datuk Seri Mukhriz Tun Mahathir yang memberitahu bahawa borang permohonan bekas ADUN daripada UMNO itu diterima pihaknya minggu lepas.

“Ya, kita (Bersatu) telah menerima permohonan beliau untuk menjadi ahli… sebenarnya perbincangan itu sudah lama tapi borang itu telah diisi dan diserahkan minggu lepas,” katanya kepada pemberita selepas menyampaikan bantuan persekolahan pada program Kembali ke Sekolah Peringkat Negeri Kedah di Dewan Seri Mentaloon, di sini hari ini.

Sekiranya permohonan Ku Abdul Rahman diterima, kerajaan Pakatan Harapan (PH) Kedah akan mempunyai majoriti mudah dengan 19 daripada keseluruhan 36 kerusi Dewan Undangan Negeri.

Pada 12 Nov lalu, Ku Abdul Rahman mengumumkan keluar UMNO dan menjadi ADUN Bebas menyokong kerajaan PH. – MalaysiaGazette

Tinggalkan Jawapan