Menteri Besar Perak Ahmad Faizal Azumu 
Menteri Besar Perak Ahmad Faizal Azumu 

IPOH – Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) ke-14 Perak berakhir semalam selepas berlangsung mulai 27 Dis lalu.

Paling penting, selepas berakhirnya sidang DUN berkenaan, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu masih lagi menteri besar Perak, seterusnya menamatkan spekulasi terdapat komplot ingin menggulingkan beliau.

Malah, hari ini Ahmad Faizal mempunyai dua program di sini untuk dihadiri iaitu Seminar Ahli Majlis Pihak Berkuasa Tempatan negeri Perak dan Mesyuarat Lembaga Pengarah Lembaga Air Perak.

Tatkala pembangkang rancak melaungkan wujudnya komplot tersebut, Ahmad Faizal yang merupakan Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Chenderiang, sedikit pun tidak ambil pusing, sebaliknya terus dengan watak ceria termasuk ketika bertemu media.

Setiap kali ditanya media tentang desas desus itu, Ahmad Faizal sentiasa tampil dengan jawapan positif termasuklah menyatakan hubungannya dengan semua Anggota Majlis Mesyuarat Kerajaan negeri (Exco) sangat baik ibarat satu keluarga besar yang bahagia.

Malah, ketika diminta mengulas tentang perkara itu, beliau hanya menyanyikan lagu ‘I’m Still Standing’ yang dipopularkan Elton John, dan itu jelas membuktikan keyakinan Ahmad Faizal bahawa usul menjatuhkannya oleh kalangan Exco tidak mungkin berlaku.

‘Bunyi-bunyi’ bahawa terdapat beberapa Exco ingin menjatuhkan Ahmad Faizal menerusi undi tidak percaya pada persidangan DUN kali ini ditimbulkan oleh ketua pembangkang Datuk Saarani Mohamad.

Beliau membuat kenyataan tersebut selepas program Perjumpaan Presiden UMNO dan Kepimpinan UMNO Malaysia bersama Pemimpin-pemimpin UMNO Perak di Sungai Siput pada 25 Nov lalu.

Saarani yang juga ADUN Kota Tampan mendakwa Exco terlibat sedang giat memujuk sekurang-kurangnya lima ADUN Barisan Nasional (BN) untuk menyokong usul undi tidak percaya sekiranya ia dibawa ke dalam persidangan DUN.

Setelah berteka-teki, akhirnya pada 4 Dis lalu, Saarani semasa perbahasan Belanjawan 2019 memberi gambaran bahawa individu dimaksudkan ialah Exco Pendidikan, Teknologi, Sains dan Alam Sekitar iaitu Dr Abdul Aziz Bari.

Serentak dengan pendedahan itu, Abdul Aziz yang juga ADUN Tebing Tinggi serta Naib Pengerusi DAP Perak membuat penafian dalam satu sidang media dan menyifatkan tuduhan Saarani tersebut sebagai gimik poltik murahan.

Pada Pilihan Raya Umum ke-14 Pakatan Harapan yang terdiri daripada DAP, Amanah dan Bersatu mendapat 29 kerusi DUN, namun jumlah itu kurang daripada 31 majoriti mudah diperlukan untuk membentuk kerajaan negeri.

Bagaimanapun, ADUN BN iaitu Datuk Zainol Fadzi Paharudin (Sungai Manik) memilih untuk menyertai Bersatu manakala Datuk Nolee Ashilin Mohammed Radzi (Tualang Sekah) menjadi ADUN Bebas tetapi menyokong PH sehingga membolehkan pakatan tersebut membentuk kerajaan negeri.

Komposisi DUN Perak ketika ini terdiri daripada PH yang merangkumi DAP (18), Amanah (6), PKR (4), Bersatu (2), BN (25), PAS (3) dan Bebas (1).

— BERNAMA

Tinggalkan Jawapan