Pengerusi Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) Wan Saiful Wan Jan bercakap pada Sidang Media Pelaksanaan Dasar-Dasar Baharu PTPTN di Menara PTPTN, Kuala Lumpur. foto SYAFIQ AMBAK, 05 DISEMBER 2018

KUALA LUMPUR – Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) mempertahankan pelaksanaan Potongan Gaji Berjadual (PGB) yang diumumkan semalam berkata, peminjam telah bersetuju untuk membuat bayaran balik pinjaman mengikut apa-apa skim yang ditetapkan termasuk potongan gaji melalui majikan.

Pengerusinya, Wan Saiful Wan Jan berkata, Seksyen 29 Akta PTPTN 1997 telah memperuntukan kuasa kepada PTPTN untuk mengarahkan majikan untuk melaksanakan potongan gaji ke atas peminjam.

“Maka peruntukan undang-undang telah ada,” katanya yang mengulas mengenai kuasa majikan untuk membuat potongan gaji dan mekanisma PGB yang didakwa bertentangan dengan Perjanjian Pinjaman.

Jelas Wan Saiful, beliau sedia mendengar kegusaran peminjam dan bersedia memberi pertimbangan rayuan daripada mereka yang memerlukan pertimbangan khas.

Beliau berkata, dasar baharu itu adalah bagi memastikan PTPTN dapat terus membantu generasi akan datang.

“Kerajaan mempunyai pilihan adakah mahu memberi keutamaan kepada peminjam hari ini atau memastikan kelestarian PTPTN supaya jutaan anak-anak kecil hari ini mempunyai dana untuk masuk IPT pada masa akan datang. Ini bukan keputusan mudah kerana ia membabitkan dua kelompok yang mempunyai keutamaan yang berbeza. Keputusan kerajaan ini saya yakin akan memastikan bahawa PTPTN lestari demi kebaikan anak-anak kita,” katanya. – MalaysiaGazette