Isteri bekas Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor hadir berhubung sebutan semula perbicaraan 17 kes pertuduhan Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan (AMLA) di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur. foto IQBAL BASRI, 06 DISEMBER 2018

KUALA LUMPUR – Perbicaraan 17 pertuduhan ke atas isteri bekas Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor kini dipindahkan ke Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.

Hakim Mahkamah Sesyen, Azura Alwi bagaimanapun tidak menetapkan tarikh perbicaraan kes berkenan.

Rosmah didakwa di Mahkamah Sesyen sebelum ini membabitkan 12 kes pengubahan wang haram membabitkan wang berjumlah lebih RM7 juta dan lima kes gagal mengemukakan penyata pendapatan kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).

Peguam Datuk K Kumaraendran, yang mewakili Rosmah berkata, pihaknya kini menunggu penetapan tarikh daripada Mahkamah Tinggi untuk hari perbicaraan.

“Kes kini menunggu tarikh yang akan ditetapkan oleh Mahkamah Tinggi untuk memulakan perbicaraan, setakat ini masih belum ada tarikh,” katanya kepada media di perkarangan Kompleks Mahkamah Jalan Duta hari ini.

Rosmah pada 4 Oktober lalu didakwa melakukan kesalahan itu di Affin Bank Berhad, Cawangan Bangunan Getah Asli, Tingkat Bawah, 148 Jalan Ampang, antara 4 Disember 2013 dan 8 Jun 2017 dan di LHDN, Kompleks Bangunan Kerajaan, Jalan Tuanku Abdul Halim, dari 1 Mei 2014 hingga 1 Mei 2018.

Atas pertuduhan pengubahan wang haram, Rosmah didakwa mengikut Seksyen 4(1)(a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) 2001 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 4(1) akta sama.

Seksyen itu memperuntukkan hukuman penjara maksimum 15 tahun dan juga boleh didenda tidak kurang 5 kali ganda nilai aktiviti haram atau RM5 juta, mengikut mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Dalam pada itu, dalam kes LHDN, Seksyen 77(1) Akta Lembaga Hasil Dalam Negara 1967 memerlukan beliau mengemukakan hasil pendapatan beliau bagi tahun taksiran 2013 hingga 2017 kepada Ketua Pengarah LHDN pada atau sebelum 30 April, 2014, 2015, 2016, 2017 dan 2018 tanpa alasan munasabah mengikut Seksyen 112 undang-undang berkenaan. -MalaysiaGazette