KWSP
Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) akan menyelaraskan caruman minimum untuk kedua-dua syer pekerja dan majikan akan diselaraskan dengan Perintah Gaji Minimum (Pindaan) 2018 sebanyak RM1,100 untuk Semenanjung Malaysia dan Sabah dan Sarawak mulai 1 Januari tahun depan.

Dengan pelaksanaan perintah caruman minimum, amaun caruman setiap bulan yang diterima oleh KWSP untuk setiap pekerja yang menerima gaji bulanan hendaklah tidak kurang daripada jumlah minimum RM264, tertakluk kepada kehadiran pekerja sepanjang bulan.

Caruman minimum yang berbeza terpakai ke atas ahli yang digaji mengikut minggu, hari atau jam.

Menurutnya, daripada 7.11 juta ahli aktif KWSP, seramai 1.64 juta, atau 23 peratus, mencarum kurang daripada gaji minimum semasa sebanyak RM1,000. Caruman bulanan yang rendah menjadi faktor utama ramai ahli tidak mencapai simpanan persaraan yang mencukupi.

Mengikut statistik KWSP, seramai 64 peratus ahli yang telah mencapai umur 54 tahun mempunyai simpanan KWSP kurang daripada RM50,000, sangat sedikit berbanding kenaikan kos sara hidup dan hutang isi rumah.

Ketua Pegawai Eksekutif KWSP Tunku Alizakri Alias berkata, upah yang rendah terutamanya di kalangan golongan berpendapatan rendah merupakan punca utama pekerja Malaysia bersara dengan simpanan yang tidak mencukupi. Penyelarasan gaji minimum ini akan membantu ahli KWSP untuk mempunyai simpanan yang mencukupi untuk persaraan
mereka serta mengukuhkan ketahanan kewangan masa depan mereka.

Notis berkenaan perkara ini telah dihantar kepada semua majikan yang berdaftar di bawah KWSP dan KWSP akan bekerjasama dengan majikan bagi memastikan pelaksanaan caruman minimum ini berjalan dengan lancar.

“Kami yakin bahawa majikan akan menerima manfaat jangka panjang kerana ia boleh membantu meningkatkan produktiviti, kesetiaan pekerja serta bertindak sebagai insentif kepada pekerja untuk melakukan yang terbaik untuk organisasi mereka,” kata Tunku Alizakri.

Beliau menamba, lanjutan daripada kejayaan pelaksanaan perkhidmatan Khidmat Nasihat Persaraan KWSP yang disediakan untuk ahli KWSP, perkhidmatan khidmat nasihat yang serupa untuk majikan juga akan disediakan, termasuk menyediakan pegawai khas untuk menguruskan perhubungan majikan dengan KWSP. – MalaysiaGazette