Pemandangan ruang yang selesa di dalam setiap tren MRT.

KUALA LUMPUR – Gamuda Berhad (Gamuda) bersetuju dengan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohammad yang kos untuk projek Transit Aliran Massa terlalu besar untuk projek yang hanya akan menyaksikan kapasiti penuh selepas 20 hingga 30 tahun lagi.

Bagaimanapun, Pengarah Urusan Kumpulan Gamuda, Datuk Lin Yun Ling berkata, peranannya sebagai rakan penyampaian projek (PDP) dalam projek itu adalah untuk menyelesaikan projek tersebut mengikut permintaan kerajaan terdahulu.

“Kami bersetuju dengan kenyataan bahawa ia (kos) terlalu besar dan terlalu mewah, tetapi tanggungjawab kami adalah untuk menguruskan penyampaian projek untuk kerajaan – saiz dan bilangan stesen semua diputuskan oleh kerajaan.

“Malah, saya ingat semasa tender untuk kerja-kerja bawah tanah, kami mencadangkan rekaan alternatif kepada kerajaan untuk menghilangkan aspek-aspek tertentu bagi mengurangkan kos, tetapi mereka tidak menerima alternatif tersebut,” katanya, seperti yang dilaporkan Theedgemarkets.

Beliau berkata demikian selepas mesyuarat agung Gamuda hari ini.

Beliau juga menekankan laluan LRT Putra mengambil masa kira-kira 20 tahun untuk mencapai sasaran 250,000 orang penumpang sehari berbanding 50,000 sehari dalam tahun pertama operasi.

Sementara itu, laluan MRT Sungai Buloh-Kajang kini menyaksikan kira-kira 130,000 penunggang setiap hari, berbanding 250,000 penunggang disasarkan.

Dr Mahathir telah mengkritik rekaan MRT yang didakwa mewah sambil mengulangi projek itu hanya akan memberi kesan ekonomi pada masa depan.

Perdana Menteri itu berkata, ada beberapa projek oleh kerajaan dahulu tidak diperlukan dan merupakan pembaziran. – MalaysiaGazette

Tinggalkan Jawapan