Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri.

KUALA LUMPUR – Walaupun susuk tubuh Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Zulkifli Mohamad sering didampingi dengan aktiviti agama, namun beliau turut tidak terlepas menyaksikan perlawanan akhir Piala AFF Suzuki 2018 malam tadi.

Zukifli dalam pada itu mengucapkan tahniah kepada skuad bimbingan Tan Cheng Hoe kerana melayakkan diri ke pusingan akhir Piala AFF.

Paling menarik perhatian MalaysiaGazette adalah komen beliau yang menyifatkan sepakan gol pertama Malaysia oleh Syahmi Safari pada minit ke-29 setaraf dengan gol jaringan legenda dan bekas kapten Brazil, Sócrates.

“Gol Malaysia yang pertama oleh Syahmi Safari pada minit ke-29 mengingatkan saya kepada nostalgia gol jaringan legenda dan bekas kapten Brazil, Sócrates.

“Bagi saya, itu antara gol yang terbaik setakat ini. Syabas dan tahniah!,” katanya di Facebook beliau.

Sócrates merupakan pemain tengah yang berasal Brazil dan merupakan antara pemain ternama pada 1980an.

Malam tadi skuad Harimau Malaya melayakkan diri ke perlawanan akhir Piala AFF selepas berjaya mengekang asakan bertali arus dari pasukan lawan.

Kedudukan terikat 2-2 sehingga tamat perlawanan. Pada perlawanan separuh akhir pertama di Stadium Bukit Jalil pada 1 Dis lalu kedua-dua pasukan juga terikat tanpa jaringan. -MalaysiaGazette