Jurulatih pasukan Malaysia, Tan Cheng Hoe (kanan) bersalaman dengan Jurulatih pasukan Thailand, Milovan Rajevic pada sesi sidang media bagi menghadapi perlawanan separuh akhir Piala AFF Suzuki antara Malaysia menentang Thailand di Stadium Nasional Bukit Jalil, Kuala Lumpur baru-baru ini. foto FAREEZ FADZIL, 30 NOVEMBER 2018

SEPANG – Kontrak Ketua jurulatih skuad Harimau Malaya, Tan Cheng Hoe bersama skuad kebangsaan akan ditentukan selepas berakhir kempen Piala AFF Suzuki 2018 yang sedang berlangsung ketika ini.

Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd Amin menjelaskan nasib pengendali berusia 50 tahun itu akan ditentukan selepas beliau mendapat laporan penuh berhubung prestasi skuad Harimau Malaya pada kejohanan tersebut daripada pengurus pasukan negara, Datuk Mohd Yusoff Mahadi.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita setibanya skuad negara dari Bangkok di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), di sini, hari ini.

Untuk rekod, Cheng Hoe dilantik sebagai pengendali skuad negara pada Disember 2017, bagi menggantikan Nelo Vingada dari Portugal yang melepaskan jawatannya selaku ketua jurulatih pasukan kebangsaan walaupun baru mengendalikan skuad negara selama tujuh bulan.

Dalam pada itu, Hamidin menjelaskan FAM masih mengekalkan sasaran juara untuk skuad negara pada kempen Piala AFF Suzuki pada kali ini, dan berharap pemain dapat mengekalkan momentum untuk menghadapi dua aksi final yang menggunakan format timbal balik pada 11 dan 15 Dis ini.

“Apabila kita masuk perlawanan akhir, kita perlu menjadi juara. Kalau kita menjadi naib johan, sejarah takkan tercipta. Jadi peluang keemasan ini perlu kita gunakan sebaik mungkin demi memenuhi harapan peminat.

“Saya sudah beritahu Cheng Hoe dan pemain bahawa tugas kita masih belum selesai. Ini (mara ke final) baru satu permulaan sahaja,” jelas Hamidin.

Malaysia mara ke final walaupun seri 2-2 dengan Thailand pada aksi separuh akhir kedua di Stadium Nasional Rajamangala, Bangkok, malam tadi.

Keputusan seri itu sudah mencukupi untuk skuad Harimau Malaya kendalian Tan Cheng Hoe layak ke final menerusi peraturan gol di tempat lawan.

Untuk rekod, kedua-dua pasukan seri tanpa jaringan pada aksi separuh akhir pertama di Stadium Nasional Bukit Jalil pada 1 Disember lepas.

Lawan Malaysia pada aksi final akan ditentukan pada separuh akhir kedua antara Vietnam dan Filipina di Hanoi, malam ini, dengan Vietnam meraih kemenangan tipis 2-1 pada aksi separuh akhir pertama di Bacolod City, Filipina, 2 Dis lepas.
– MalaysiaGazette