KUALA LUMPUR – Pelan Pemulihan Malaysia Airlines Berhad (PPM) yang dilaksanakan sejak Oktober 2014 masih gagal mendapat pulangan modal pada tahun ini.

Menteri Kewangan, Lim Guan Eng berkata, cabaran ini disebabkan oleh pelbagai faktor termasuk kenaikan harga bahan api (meningkat lebih dari 37 peratus tahun ke tahun), lebihan kapasiti di seluruh industri yang mengakibatkan tekanan permintaan dan hasil serta kekangan operasi dari segi kekurangan juruterbang.

Sehingga kini, PPM berada dalam tahun keempat pelaksanaannya dan telah melakar beberapa hasil positif.

Menurut beliau, meskipun, faktor luaran yang mencabar, MAB tetap komited untuk meneruskan pelan ini melalui inisiatif yang telah dirancang dan sentiasa melaksanakan strategi proaktif dan defensif untuk meningkatkan prestasi pada tahun 2019.

“MAB akan terus memacu hasil dengan melaksanakan strategi penentuan harga yang efektif dan menyediakan produk yang lebih baik kepada penumpang.

“Malaysian Hospitality akan terus menjadi fokus dan panduan bagi syarikat bagi menjadikan MAB sebuah syarikat penerbangan yang lebih baik berbanding saingannya pada masa hadapan,” katanya.

Beliau menjawab soalan Che Alias Hamid (Pas-Kemaman) yang bertanyakan tentang keberkesanan pelan penstrukturan semula MAB setelah dana berjumlah RM6 bilion telah dilaburkan oleh kerajaan.

Hasil pelaksanaan Pelan Pemulihan Malaysia Airlines Berhad (PPM) akan dapat dinilai sepenuhnya pada tahun 2020, tambahnya.

Katanya, pencapaian utama yang telah dilakar setakat ini termasuk penyahsenaraian MAS, penggubalan Akta MAS, pengoperasian Malaysia Aviation Group Berhad, pelancaran pusat pembangunan korporat, penubuhan Suruhanjaya
Penerbangan Malaysia, rasionalisasi laluan bagi laluan tidak menguntungkan dan pengembangan penyambungan rangkaian serantau MAB serta transformasi digital dengan pelancaran sistem perkhidmatan penumpang, laman web dan aplikasi mudah alih yang dipertingkatkan.- MalaysiaGazette

Tinggalkan Jawapan