BNM

KUALA LUMPUR – Bank Negara Malaysia (BNM) mengingatkan aset digital adalah tidak sah diperakukan di Malaysia.

Aset digital merujuk kepada mata wang digital dan token digital.

Sehubungan itu, orang ramai adalah dinasihatkan agar berhati-hati dalam menilai risiko yang berkaitan ketika berurusan dalam aset digital.

Bagi melaksanakan rangka kerja kawal selia terhadap aset digital, Suruhanjaya Sekuriti dan BNM akan menjalankan kerja penyelarasan bersama bagi memastikan pematuhan terhadap undang-undang dan peraturan di bawah bidang kuasa masing-masing, kata BNM dan SC dalam kenyataan bersama.

SC akan mengawal selia penerbitan aset digital melalui penawaran syiling awal (ICO) dan dagangan aset digital di bursa aset digital di Malaysia.

Peraturan-peraturan kini sedang disediakan agar aset digital tertakluk kepada undang-undang sekuriti bagi
memastikan dagangan yang adil dan teratur serta perlindungan pelabur.

Penerbit ICO dan bursa aset digital yang terbabit dalam penerbitan atau urusan jual beli aset digital yang melibatkan fungsi pembayaran, perlu mematuhi undang-undang dan peraturan Bank Negara Malaysia (BNM) yang berkaitan dengan urusan pembayaran dan mata wang.

Di samping itu, penerbit ICO dan bursa aset digital adalah tertakluk kepada Garis Panduan mengenai Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pembiayaan Keganasan SC. – MalaysiaGazette

Tinggalkan Jawapan