Datuk Hamidin Mohd. Amin

KUALA LUMPUR – Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd. Amin mengingatkan pemain skuad Harimau Malaya bahawa perjuangan mereka belum selesai.

Beliau berkata, Malaysia masih lagi memiliki dua baki perlawanan yang perlu dihadapi pada 11 Disember ini di Bukit Jalil dan 15 Disember di tempat lawan sama ada Vietnam atau Filipina.

“Sebelum kita dapat menjulang trofi Piala Suzuki AFF buat kali kedua dalam sejarah. Terus fokus dan berusaha!

“Bagi pihak FAM, saya selaku presiden ingin mengucapkan terima kasih kepada semua penyokong pasukan Malaysia dan juga Ultras Malaya yang telah sama-sama hadir ke Stadium Rajamangala, Bangkok, malam ini bagi memberikan sokongan tidak berbelah bagi buat skuad Harimau Malaya” katanya dalam satu kenyataan di sini malam tadi.

Hamidin berkata, tidak dilupakan juga, seluruh rakyat Malaysia di tanah air yang turut mendoakan kejayaan Malaysia pada aksi separuh akhir kedua Piala Suzuki AFF 2018 menentang Thailand malam ini seterusnya berjaya melangkah ke pentas final. – MalaysiaGazette