Seorang penyokong memegang poster ’tolak ICERD’ pada Himpunan Rakyat Bantah ICERD di hadapan Kompleks Sogo, Kuala Lumpur. foto SYAFIQ AMBAK, 04 NOVEMBER 2018

KUALA LUMPUR – Sepanjang tujuh bulan Pakatan Harapan (PH) mengambil alih pemerintahan Persekutuan, dua kali cuti peristiwa diumumkan kerajaan baharu itu.

Sehubungan itu, kenapa Angkatan Muda Keadilan (AMK) Malaysia yang mana partinya, PKR turut menganggotai kerajaan Persekutuan tidak mempersoalkan pemberian cuti itu.

Ketua Pemuda Parti Ikatan Bangsa Malaysia (Ikatan), Shahir Adnan menegaskan, kenapa apabila kerajaan Pas Kelantan mengumumkan cuti peristiwa kepada rakyatnya pada 9 Disember ini, dipersoalkan.

Beliau menjelaskan, memberikan cuti peristiwa adalah sesuatu yang normal dilakukan oleh pihak kerajaan Persekutuan atau kerajaan negeri.

Shahir Adnan
Shahir Adnan

“Selalunya cuti itu diberikan untuk meraikan sesuatu kemenangan, contohnya kemenangan merangkul piala bola sepak.

“Seawal memegang tampuk kuasa, kerajaan PH memberikan cuti peristiwa selama dua hari. Adakah pihak pemuda Pakatan Harapan lupa perkara ini?” katanya dalam kenyataan kepada media di sini, hari ini.

Pagi tadi, Naib Ketua AMK Pusat, Syed Badli Shah Syed Osman dalam kenyataannya kepada sebuah portal mesrapembangkang dilaporkan berkata, tindakan kerajaan Kelantan mengumumkan cuti peristiwa semata-mata untuk menggalakkan rakyat menyertai himpunan tersebut bukan sahaja tidak masuk akal, malah boleh menjejaskan produktiviti kerajaan negeri.

Katanya, sebuah kerajaan tidak seharusnya dilibatkan untuk sesuatu himpunan berunsur politik.

Mengulas lanjut, Shahir yang juga Timbalan Ketua Pemuda Gagasan Sejahtera (GS) menyatakan sokongannya berhubung gesaan semua pihak yang mengajak seluruh rakyat Malaysia turun berhimpun pada Sabtu ini bagi meraikan kemenangan tidak meratifikasikan ICERD.

“Kita juga menyokong penuh keputusan kerajaan Pas Kelantan memberikan cuti peristiwa kepada rakyat negeri itu untuk hadir ke perhimpunan di ibu kota Kuala Lumpur sempena meraikan kemenangan rakyat.

“Dengan ini, saya menggesa Pemuda AMK, terutama Syed Badli menarik balik kenyataan tidak matang beliau terhadap kerajaan Kelantan,” ujarnya. – MalaysiaGazette