KUALA LUMPUR – Tiket masuk ke Stadium Nasional Bukit Jalil bagi menyaksikan perlawanan akhir pertama Piala AFF Suzuki 2018 antara Malaysia menentang Filipina atau Vietnam pada 11 Disember ini mula dijual secara online esok.

Setiausaha Agung Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) Stuart Ramalingam berkata, tiket aksi Final 1 itu hanya akan mula dicetak di Bangkok, Thailand oleh syarikat tiket yang dilantik Persekutuan Bolasepak Asean (AFF) selepas keputusan satu lagi aksi Separuh Akhir dua, Vietnam lawan Filipina di Hanoi, malam ini diketahui.

“Mengikut jadual, tiket yang siap dicetak dijangka tiba di Kuala Lumpur pada Sabtu, 8 Disember 2018, sekaligus ia hanya boleh mula dijual secara fizikal pada pagi Ahad ini (9 Disember 2018), itu pun jika tiada sebarang kelewatan penerimaan tiket tersebut.

“Bagaimanapun, sama seperti sebelum ini, FAM meneruskan inisiatif untuk memudahkan urusan penyokong membeli tiket lebih awal dengan penjualan secara online di www.tickethotline.com.my yang akan mula dibuka pagi esok.

“Sama juga seperti aksi bertemu Thailand, kuota bagi penjualan tiket secara online untuk Final 1 ini adalah sebanyak 40,000 keping iaitu 20,000 keping akan dijual pada Jumaat bermula 9 pagi (sehingga habis) dan 20,000 keping akan dijual pada Sabtu bermula 9 pagi (sehingga habis),” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Ramalingam berkata, baki 40,000 keping tiket lagi akan dijual secara fizikal bermula Ahad ini dan lokasi-lokasi penjualannya akan dimaklumkan kelak.

Tambah beliau, empat tahun lalu ketika Malaysia bertemu Thailand di stadium yang sama, harga tiket dijual pada harga RM50 untuk tempat terbuka dan RM10 bagi kanak-kanak.

“Mengambil kira semangat yang sama ketika aksi Separuh Akhir 1 bertemu Thailand tempoh hari FAM menetapkan harga tiket yang lebih rendah berbanding empat tahun lalu supaya ia tidak terlalu membebankan penyokong Harimau Malaya.

“Harga tiket bagi Final 1 di Stadium Nasional, Bukit Jalil, Selasa ini ditetapkan RM40 bagi tempat duduk terbuka (RM10 lebih murah berbanding tiket 2014) dan RM5 bagi tiket kanak-kanak (RM5 lebih murah berbanding tiket 2014).

“Satu lagi kategori tiket yang diperkenalkan untuk Final 1 kali ini iaitu tiket RM50 bagi tempat duduk utama (grandstand),” ujarnya. – MalaysiaGazette