Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) mengarahkan Persatuan Bola Sepak Polis Diraja Malaysia (PDRM FA) untuk menyelesaikan tuntutan tunggakan gaji 12 bekas pemainnya sebanyak RM522,000.
Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) mengarahkan Persatuan Bola Sepak Polis Diraja Malaysia (PDRM FA) untuk menyelesaikan tuntutan tunggakan gaji 12 bekas pemainnya sebanyak RM522,000.

KUALA LUMPUR – Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) mengarahkan Persatuan Bola Sepak Polis Diraja Malaysia (PDRM FA) untuk menyelesaikan tuntutan tunggakan gaji 12 bekas pemainnya sebanyak RM522,000.

Pengerusi Jawatankuasa Status FAM, Mohd Joehari Ayub dalam satu kenyataan memaklumkan tunggakan gaji berkenaan yang tertakluk kepada potongan wajib pendapatan, perlu dilunaskan oleh PDRM FA dalam tempoh 30 hari bermula dari tarikh penerimaan keputusan berkenaan.

PDRM FA masih berhutang kepada tiga pemain, masing-masing sebanyak RM30,000 iaitu Khairul Nidzam Mohammad Noor, Mohamad Nabil Ahmad Latpi dan Mohd Sheril Anuar Saini, selain jumlah tunggakan sebanyak RM36,000 kepada tiga lagi pemain iaitu Muhammad Amer Syafeeq Aziz, Muhammad Hariz Irffan Mohd Nazri dan Muhammad Rafizi Zahari.

PDRM FA turut perlu melunaskan tunggakan gaji sebanyak RM42,000 kepada Muhamad Baqiuddin Shamsudin, Hazwan Fakhrullah Mohd Zuridi dan Muhammad Ilham Yusof (RM48,000), Mohamad Hariz Fazrin Mohd Nazri dan Mohd Kamal Rodiarjat Md Ali @Madi (RM54,000) serta Muhammad Nazri Mohd Kamal (RM78,000).

Mohd Joehari menyatakan Persatuan Bola Sepak Pulau Pinang turut diarahkan untuk membayar tunggakan gaji dan elaun perumahan (tertakluk kepada potongan wajib pendapatan) sebanyak RM398,000 kepada enam orang bekas pemainnya dalam tempoh 30 hari dari tarikh penerimaan keputusan tersebut.

Persatuan berkenaan perlu melunaskan tunggakan gaji kepada Mohd Lot Abu Hassan sebanyak RM33,000, Mohd Alafi Mahmud (RM38,000), Muhammad Al-Hafiz Hamzah (RM54,000), Mohd Fitri Shazwan Raduwan (RM78,000), Norhafiz Zamani Misbah (RM78,000) dan Mohd Raimi Md Noor sebanyak RM117,000, jelas Mohd Joehari.

Turut menerima nasib yang sama adalah Kelab Bola Sepak Terengganu City dikehendaki membayar tunggakan gaji (tertakluk kepada potongan wajib pendapatan) kepada empat bekas pemain dan jurulatih pasukan berkenaan.

Mohd Joehari menyatakan pasukan berkenaan perlu melunaskan tunggakan gaji kepada Muhamad Shadiduddin Sehat dan Muhammad Naim Mazlan, masing-masing sebanyak RM14,000, Hamdan Mohamad (RM42,000) dan jurulatih, Md Noor Md Derus sebanyak RM72,000.

Beliau turut menjelaskan Kelab Bola Sepak Kementerian Kewangan Malaysia perlu membayar pampasan kontrak, masing-masing kepada dua bekas pemainnya iaitu Muhammad Nurikhwan Mohamad Ismail (RM30,000) dan Mohamad Rahimi Rahim (RM21,000) dalam tempoh 30 hari bermula dari tarikh penerimaan keputusan berkenaan.

Mohd Joehari menegaskan jika kesemua persatuan berkenaan ?gagal membayar jumlah dinyatakan dalam tempoh yang ditetapkan, apa-apa deposit penyertaan pertandingan, hadiah wang tunai atau apa-apa sahaja kewangan responden yang masih berbaki di FAM, akan dibayar terus kepada kesemua pengadu berkenaan.

Beliau menjelaskan perkara berkenaan akan dibawa kepada Jawatankuasa Tatatertib FAM di bawah Artikel 67 Kod Tatatertib FAM untuk pertimbangan dan keputusan rasmi jika sumber kewangan yang dinyatakan di atas, masih tidak mencukupi.

Dalam perkembangan berasingan, Mohd Joehari memaklumkan Muhammad Akhyar Abdul Rashid perlu membuat bayaran nilai tebus kontrak sebanyak RM210,000 kepada Persatuan Bola Sepak Kedah (Kedah FA) berhubung penamatan kontrak beliau melalui tebus kontrak.

Mohd Joehari menegaskan, mana-mana ??pasukan yang berminat mendapatkan khidmat Muhammad Akhyar perlu membayar sebanyak RM75,000 kepada Muhammad Akhyar dan Kedah FA sebagai pampasan latihan pemain berkenaan.

Kesemua keputusan berkenaan diputuskan pada mesyuarat kali kesembilan Jawatankuasa Status FAM bagi penggal 2017-2021 yang berlangsung di Wisma FAM, Kelana Jaya, baru-baru ini.

— BERNAMA