KUALA LUMPUR – Pengerusi Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM), Datuk Junaidah Kiting akan mengemukakan laporan lengkap untuk membantu siasatan dakwaan wujud ketirisan termasuk dalam penubuhan anak syarikat badan amanah itu kepada Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Beliau berkata, tindakan tersebut bagi memastikan hala tuju AIM tidak tersasar dari matlamat asal ia ditubuhkan iaitu untuk membasmi kemiskini menerusi kemudahan pembiayaan keusahawanan.

Junaidah turut memperbetulkan persepsi awam bahawa apa yang ditegaskan Timbalan Menteri itu adalah berkaitan penubuhan anak-anak syarikat AIM sahaja dan bukannya penutupan operasi AIM secara keseluruhan.

Beliau berkata, pihaknya memandang serius kenyataan Mohamed Hanipa Maidin bahawa kerajaan akan memulakan prosedur pembatalan Sijil Pemerbadanan AIM kerana tidak memenuhi syarat-syarat Suratcara Ikatan Amanah terutamanya dalam penubuhan anak-anak syarikat.

Katanya, sebagai sebuah badan amanah persendirian yang ditubuhkan sejak September 1987, pengurusan AIM sentiasa mengambil perhatian terhadap apa jua isu yang melibatkan soal integriti dalam setiap aspek tadbir urus badan ini.

Bagaimanapun, kata Junaidah, AIM sentiasa terbuka serta memberikan kerjasama penuh kepada kerajaan untuk melaksanakan proses undang-undang sekiranya terdapat unsur-unsur meragukan dalam penubuhan anak-anak syarikat yang tidak mengikut syarat Surat Ikatan Amanah 26 April 2012 dibawah Klausa 3(C).

“Malah pengurusan baharu AIM ketika ini menegaskan tidak akan bertolak-ansur dengan mana-mana pihak sekiranya wujud amalan ketirisan, penyelewengan atau penyalahgunaan dana AIM yang berlaku semasa pentadbiran lalu.

“Pada masa sama, AIM sedang berusaha menyiapkan laporan lengkap dan akan menyerahkan kepada pihak berkuasa untuk siasatan lanjut dalam tempoh terdekat ini sekaligus memberikan ruang kepada undang-undang bagi mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pihak yang terlibat.

“Malah pengurusan baharu AIM ketika ini menegaskan tidak akan bertolak-ansur dengan mana-mana pihak sekiranya wujud amalan ketirisan, penyelewengan atau penyalahgunaan dana AIM yang berlaku semasa pentadbiran lalu,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Dalam pada itu Junaidah berkata, AIM di bawah pengurusan baharu ketika ini sedang giat melaksanakan agenda utama membantu meningkatkan sosioekonomi rakyat miskin dan berpendapatan rendah menerusi program-program pembiayaan aktiviti meningkatkan pendapatan, keusahawanan, bimbingan dan latihan di seluruh negara.

Semalam, Mohamed Hanipa menjelaskan di Dewan Rakyat bahawa, kerajaan sedang menyediakan dokumen yang diperlukan untuk memulakan prosedur pembatalan sijil Pemerbadanan Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) kerana tidak memenuhi syarat-syarat Suratcara Ikatan Amanah terutamanya dalam penubuhan anak-anak syarikat.

Katanya, langkah itu adalah berdasarkan Surat Ikatan Amanah 26 April 2012 klausa 3(c), penubuhan anak syarikat adalah tidak dibenarkan.

Menurut Mohamed Hanipa, berlaku pelanggaran undang-undang oleh kerajaan terdahulu pabila wujudnya anak syarikat walaupun ia tidak dibenarkan. – MalaysiaGazette

Tinggalkan Jawapan