Lim Kit Siang

KUALA LUMPUR – Penasihat DAP, Lim Kit Siang enggan menerangkan secara jelas kepada media berhubung kenyataannya semalam tentang Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD) dengan rusuhan kaum seperti yang berlaku pada 13 Mei.

Ketika ditemui media selepas program bual bicara ‘Malaysia Baharu, Politik Lama’ dan pelancaran buku bertajuk ‘509: The People Have Spoken’, satu kompilasi artikel mengenai pilihan raya umum 9 Mei lalu di Universiti Malaya hari ini, veteran DAP itu mengelak-ngelak untuk menjawab soalan yang dikemukakan wartawan.

Beliau sebaliknya meminta media merujuk apa yang diperkatakan berhubung isu berkenaan dengan kenyataan yang dikeluarkannya tanpa perlu bertanya lebih lanjut tentang hal tersebut.

“Saya rasa kamu perlu rujuk kenyataan yang saya beri semalam sahaja,” katanya ringkas.

Semalam, dalam satu kenyataan Kit Siang berkata, tiada rakyat Malaysia yang mahu meratifikasi ICERD jika harganya ialah satu lagi rusuhan kaum seperti 13 Mei.

Beliau berpendapat isu ICERD adalah amaran untuk seluruh rakyat Malaysia bahawa wawasan Malaysia Baharu masih boleh dikalahkan sekiranya oportunis politik dan para ‘desperado’ dibiarkan mengeksploitasi politik kebohongan, kebencian kaum dan agama.

Malah katanya, rakyat Malaysia menjadi mangsa begitu banyak mitos dan salah faham berkenaan ICERD dan cadangan meratifikasikannya tidak berpunca daripada agenda rahsia untuk melemahkan Perlembagaan Persekutuan atau menyerang kedudukan orang Melayu, agama Islam dan Raja-Raja Melayu. – MalaysiaGazette