Lim Kit Siang
Lim Kit Siang

KUALA LUMPUR – UMNO dan Pas dihantui bayang-bayang sendiri apabila kedua-duanya percaya bahawa DAP merupakan parti yang sangat berkuasa di dalam Pakatan Harapan malah menganggap satu hari nanti Lim Kit Siang akan diangkat menjadi perdana menteri.

Disebabkan ketakutan tersebut, kata Penasihat DAP itu, UMNO dan Pas menjadi semakin terdesak sehingga menggunakan pelbagai cara untuk menyebarkan agenda bahawa DAP merupakan parti anti-Melayu dan anti-Islam.

Kit Siang berkata demikian ketika berucap melancarkan buku bertajuk ‘509: The People Have Spoken’, satu kompilasi artikel mengenai pilihan raya umum 9 Mei lalu.

Kehadiran Kit Siang pada program tersebut merupakan penampilan pertama ke Universiti Malaya selepas empat dekad beliau tidak dibenarkan berdebat isu politik di universiti ekoran adanya Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) 1971.

Dalam pada itu, Kit Siang juga menuduh MCA sebuah parti anti-Cina begitu juga dengan UMNO dan Pas yang disifatkannya sebagai sebuah parti anti-Melayu dan Islam. – MalaysiaGazette