Pengarah Institut Alam dan Tamadun Melayu (ATMA), Prof. Dr. Supyan Hussin (tengah) berbual mesra bersama Timbalan Presiden Majlis Profesor Negara, Prof. Dr. Kamaruddin M. Said (dua kiri), Setiausaha Agung Majlis Perundingan Melayu (MPM), Prof. Datuk Dr. Hasan Mad (kiri), Pensyarah Universiti Utara Malaysia, Prof. Dr. Mohd Hazim Shah Abdul Murad (dua kanan) dan Pengarah Institut Kajian Etnik (KITA) Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof. Ulung Datuk Dr. Shamsul Amri Baharuddin (kanan) pada forum Mitos Melayu Malas, Penilaian Semula Pemikiran Syed Hussein Alatas dan Realiti Hari Ini di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Bangi, Selangor. foto FAREEZ FADZIL, 07 DISEMBER 2018

BANGI – Pandangan pemimpin negara ini yang mewujudkan stigma bahawa kaum Melayu malas sudah tidak boleh digunapakai malah ia merupakan ketetapan minda kolonial.

Beberapa cendekiawan dan pemikir berpendapat, kaum Melayu sudah lama meninggalkan stigma tersebut malah banyak kejayaan telah dicapai kaum itu dalam menggerakkan ekonomi negara ini.

Timbalan Presiden Majlis Profesor Negara, Prof. Dr. Kamaruddin M. Said sehubungan itu meminta supaya bangsa Melayu tidak terus dimomokkan oleh sesetengah individu dan pemimpin bahawa kumpulan itu adalah kaum yang malas.

“Kita jangan terperangkap dengan stereotaip sebab ia tidak saintifik, ia tidak terlalu umum, tapi kalau minda kita telah cenderung ke arah itu, kita tahu siapa yang malas, dan aktif.

“Kita jangan lupa bahawa orang Melayu yang bangunkan 20 universiti awam, menjadikan UiTM sebagai universiti terbesar di dunia dengan 200,000 pelajar.

“Itu kejayaan kita, dan Petronas juga dibangunkan oleh orang Melayu, TNB, TM, Pos Malaysia dibangunkan Melayu,” katanya dalam siri wacana cendekiawan ATMA Mitos Melayu Malas.

Wacana itu antaranya membincangkan isu penilaian semula Pemikiran Syed Hussein Alatas dan realiti hari ini di Bangunan Canselori, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), hari ini.

Ia dikemudi Pengarah Institut Alam dan Tamadun Melayu (ATMA), Prof. Dr. Supyan Hussin.

Turut menjadi panelis adalah Pengarah serta pengasas Institut Kajian Etnik (KITA), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof. Ulung Datuk Dr. Syamsul Amri Baharudin; Profesor Kehormat Universiti Utara Malaysia (UUM), Prof. Dr Mohd Hazim Shah Abdul Murad; dan Setiuasaha Agung Majlis Perundingan Melayu (MPM), Prof. Datuk Dr. Hasan Mad.

Menurut Hasan, Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad bukan sahaja secara terang-terangan mengkritik kaum Melayu sebagai pemalas namun kini mengheret keterlibatan semua kaum yang kini disifatkan turut malas.

“Pada 8 November, Tun Mahathir mengadakan perjumpaan tertutup dengan menteri dan timbalan menteri Melayu, beliau terangkan apa sebenarnya isu yang dihadapi oleh orang Melayu di luar sana.

“Beliau bukan buat U-turn, tidak boleh serang lagi orang Melayu kerana cabaran Melayu malas bukan lagi diterima sebagai cabaran untuk Melayu bangkit,” katanya.

Mahathir pada 26 November lalu berkata rakyat Malaysia terlalu bergantung kepada bantuan dan menggagalkan negara untuk terus maju.

Dalam pada itu, Dr. Syamsul Amri menjelaskan, Dr Mahathir tidak akan mengubah pendiriannya mengenai stigma bahawa Melayu adalah kaum yang malas.

MGF07122018_MITOS MELAYU MALAS_02
Pengarah Institut Kajian Etnik (KITA) Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof. Ulung Datuk Dr. Shamsul Amri Baharuddin bercakap pada forum Mitos Melayu Malas, Penilaian Semula Pemikiran Syed Hussein Alatas dan Realiti Hari Ini di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Bangi, Selangor. foto FAREEZ FADZIL, 07 DISEMBER 2018

“Tun Mahathir adalah manusia sama, kalau ikut definisi buku dia (The Malay Dilemma) , dia masih ada genetik sama seperti dahulu.

“Dia tidak merubah genetik dia, jadi bila dia kata orang kata Melayu malas sebab genetik, dia punya genetik pada tahun 1970 tidak ada beza sampai sekarang.

“Pendikan itu memang pendirian dia, dia tidak akan merubah pendirian dia cuma ubah sekarang kenyataan yang mencakupi rakyat Malaysiasia pula,” katanya lagi. -MalaysiaGazette

Tinggalkan Jawapan