Wan Saiful Wan Jan

KUALA LUMPUR – Pelaksanaan Skim Potongan Gaji Berjadual (PGB) Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional yang akan berkuatkuasa pada Januari depan ditangguhkan.

Keputusan penangguhan itu dibuat oleh kerajaan.

“Skim pembayaran balik PTPTN akan ditangguhkan buat sementara waktu sehingga kami menerima input secara kolektif dan maklum balas daripada semua pemegang kepentingan,” kata Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik menerusi Twitter sebentar tadi.

Skim PGB yang diumumkan oleh Pengerusi PTPTN, Wan Saiful Wan Jan kelmarin mendapat kecaman daripada orang ramai yang menyifatkan ia sebagai zalim dan membebankan.

Melalui skim itu peminjam yang bergaji sebanyak RM2,000 ke atas dikenakan potongan antara 2.0 hingga 15 peratus.

Rata-rata peminjam marah dan kecewa kerana PTPTN tidak membuat kajian secara telus dan memberi pertimbangan  komitmen lain oleh peminjam tabung tersebut.

Kritikan-kritikan berhubung skim itu turut disuarakan dalam kalangan parti Pakatan Harapan dan pembangkang. – MalaysiaGazette