Seorang penyokong memegang poster ’tolak ICERD’ pada Himpunan Rakyat Bantah ICERD di hadapan Kompleks Sogo, Kuala Lumpur. foto SYAFIQ AMBAK, 04 NOVEMBER 2018

KUALA LUMPUR – Tun Dr Mahathir Mohamad mendoakan agar perhimpunan ‘kesyukuran’ meraikan kejayaan menolak ratifikasi Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD) esok lancar tanpa sebarang perkara tidak diingini.

Dalam video berdurasi dua minit tiga saat itu, perdana menteri  turut meminta penganjur perhimpunan juga memastikan tidak berlaku sebarang kekacauan atau kerosakan ke atas harta benda awam.

“Saya doakan agar perhimpunan ini berjalan dengan lancar tanpa sebarang gangguan.

“Bagi pihak kerajaan, jika perhimpunan itu diadakan atas dasar kesyukuran, kita mengucapkan terima kasih kerana sokongan yang ditunjukkan.

“Kita tidak berhasrat menghalang atau menyukarkan penganjur perhimpunan kerana ini bertentangan dengan dasar kerajaan yang mendokong prinsip-prinsip demokrasi,” katanya dalam video berkenaan.

Dalam pada itu, Dr Mahathir turut menasihatkan pihak penganjur agar membantu pihak polis dan pihak berkuasa yang lain dalam memastikan tidak berlaku kekacauan atau kerosakan ke atas harta benda awam.

“Jika boleh jangan membuang sampah di merata-rata tempat dan jagalah kebersihan,” katanya lagi.

Dijangka puluhan ribu peserta himpunan itu dijadualkan turun ke Dataran Merdeka esok apabila himpunan itu bermula jam 2 petang esok.

Kira-kira 50,000 rakyat negeri Kedah, 40,000 peserta dari Perak khususnya ahli dan penyokong UMNO dan Pas dan 35,000 ahli Gerakan Baju Merah diwar-warkan akan melibatkan diri. -MalaysiaGazette

Tinggalkan Jawapan