Anggota Bomba dan Penyelamat membawa keluar jenazah yang terkorban dalam kes kebakaran yang berlaku di Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah, Jalan Datuk Keramat, Selangor. foto HAZROL ZAINAL, 14 SEPTEMBER 2017.

KUALA LUMPUR – Pengalaman melihat seorang ibu mencium jenazah anaknya yang rentung terbakar sehingga pipinya melekat cebisan kulit mangsa tak mungkin dapat dilupakan pengasas Skuad Pengurusan Jenazah Malaysia (SPJM).

Menurut Muhammad Rafieudin Zainal Rashid, mangsa adalah salah seorang daripada 23 orang yang terbunuh dalam tragedi kebakaran pusat tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah, Kuala Lumpur tahun lalu.

Katanya, segalanya bermula apabila SPJM diminta membantu menguruskan kesemua jenazah mangsa di Hospital Kuala Lumpur (HKL).

Sebelum itu, katanya, beliau telah menghadiri sebuah mesyuarat khas yang dihadiri oleh Mufti Kuala Lumpur, Datuk Seri Zulkifli Mohamad Al-Bakri dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri ketika itu, Datuk Seri Jamil Khir Baharom berkenaan insiden tersebut.

Dalam mesyuarat itu, ujarnya, satu keputusan telah dicapai agar kaedah tayammum digunakan kerana hampir kesemua mangsa rentung terbakar.

Jelasnya, sebaik sahaja selesai proses mengenalpasti mangsa melalui ujian DNA dan sebelum jenazah-jenazah ini diserahkan kepada waris, kesemua mayat telah dibahagikan kepada lima kumpulan.

MGF06122018_PENGURUSAN JENAZAH05
Skuad Pengurusan Jenazah, Muhammad Rafieudin Zainal Rashid bercakap semasa temubual khas mengenai pengurusan jenazah di Restoran Taj Hadramawt, Melati Utama, Kuala Lumpur. foto SYAFIQ AMBAK 06 DISEMBER 2018

Menurut Muhammad Rafieudin, beliau ketika itu berada dalam kumpulan pertama dan jenazah yang mula-mula diterima mereka adalah seorang kanak-kanak lelaki berusia 11 tahun. Badannya hanya tinggal separuh. Tanpa kaki dan tanpa tangan.

Serentak dengan itu, ujarnya, ibu bapa kanak-kanak tersebut merayu hendak masuk melihat jenazah anak mereka.

Tambahnya, beliau membenarkan permintaan tersebut dengan syarat si ibu hendaklah mengawal emosi dan kesedihannya.

” Sebaik saja melihat jenazah si anak, ibu tadi menangis dan hampir pitam. Saya bagitahu suaminya, saya nak cepat sebab di luar ada banyak lagi mayat yang kami perlu uruskan. Lalu si suami pun menarik tangan si isteri tadi, tiba-tiba si isteri pusing balik dan minta nak cium pula jenazah anaknya itu. Saya katakan padanya, tak mengapalah, cium je atas kain. Lalu saya tutup wajah anaknya dengan kain.

” Mula-mula si ibu tadi setuju (untuk cium atas kain), tetapi tiba-tiba dia buka kain itu dan mencium betul-betul atas kepala jenazah anaknya tadi. Masa tu betul-betul sedih sehingga saya sendiri pun tak dapat menahan airmata. Bila si suami tadi menarik badan isterinya tadi, terlihat kesan kulit anaknya yang rentung itu melekat di pipinya!

” Allah sedihnya, saya memang tak dapat lupa situasi berkenaan,” katanya menahan sebak.

Beliau berkata demikian ketika ditemubual secara eksklusif oleh Malaysia Gazette di sini semalam.

Untuk rekod, seramai 23 penghuni di Pusat Tahfiz Darul Ittifaqiyah, Jalan Keramat Hujung, Kampung Datuk Keramat, Kuala Lumpur meninggal dunia dalam insiden yang terjadi di antara 4.15 pagi dan 6.45 pagi, pada 14 Sept 2017.

Dua remaja lelaki yang ketika itu berumur 16 tahun didakwa bersama-sama membunuh dan menyebabkan kematian mangsa-mangsa.

Mengulas lanjut mengenai insiden itu, Muhammad Rafieudin memberitahu, beliau sampai di bilik mayat HKL kira-kira pukul 9 pagi hari kejadian.

Jelasnya, ketika kumpulan mayat pertama tiba dengan trak polis, bau terbakar masih boleh dapat dihidu dan ia ‘melekat’ pada pakaiannya.

MGF15092017_KUBUR038a
Reaksi ahli keluaraga waris yang tidak dapat mengawal emosi kesedihan mereka ketika jenazah mangsa tragedi kebakaran Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah, Jalan Datuk Keramat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Raudhatul Sakinah, Taman Batu Muda, Kuala Lumpur. foto NOOR ASREKUZAIREY SALIM, 15 SEPTEMBER 2017

Mengenai kaedah tayammum yang digunakan ke atas para mangsa, beliau menjelaskan, tayammum menggunakan debu tanah yang suci.

” Mula-mula kami sediakan tiga helai kertas. Kami letakkan debu tanah di atas ketiga-tiga helai kertas tadi. Pertama sekali kami tepuk debu di kertas pertama dan berniat: ” Sahaja aku tayamumkan jenazah ini kerana Allah Taalla”. Kemudian kami ratakan di muka mayat. Sebenarnya cukup sekadar ‘lalukan’ saja di muka mayat tadi.

” Dah selesai, bersihkan tangan kemudian tepuk pula debu di kertas kedua, sapu pula di tangan kanan sampai ke bahunya. Dalam kes kanak-kanak rentung ini, banyak anggota badan yang dah tak ada, jadi kami hanya sapu debu tadi di bahagian anggota yang tinggal sahaja. Akhir sekali kami tepuk debu di kertas yang ketiga, dan sapukan di tangan kiri mayat. Selesai. Semua ini kita lakukan atas kain kafan.

” Alhamdulillah, urusan kesemua mayat ini sangat mudah. Dalam masa dua jam, kesemuanya selesai,” ujarnya. – MalaysiaGazette